COPENHAGEN – Kira-kira 550,000 kanak-kanak di Eropah menghadapi kesukaran membaca akibat pencemaran bunyi, menurut sebuah badan pemantau alam sekitar, menggesa pengurangan bunyi di rumah dan sekolah.
Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA) dalam kajian terbarunya yang merangkumi 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) serta Liechtenstein, Norway dan Switzerland, menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya satu daripada lima orang di Eropah terdedah kepada tahap bunyi yang melebihi had yang disyorkan.
“Lebih 20 peratus penduduk EU, termasuk kanak-kanak, tinggal di kawasan dengan tahap bunyi lalu lintas yang membahayakan kesihatan,” kata laporan itu.
“Di banyak kawasan bandar, peratusan ini jauh lebih tinggi, mencecah sehingga 50 peratus.”
Hidup di kawasan yang terjejas oleh bunyi lalu lintas dikaitkan dengan risiko lebih tinggi untuk mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk penyakit kardiovaskular dan gangguan kesihatan mental, jelas EEA.
Pencemaran bunyi adalah “antara faktor persekitaran paling merosakkan kesihatan di Eropah selepas pencemaran udara,” tambahnya.
Dalam kalangan individu di bawah 18 tahun, bunyi bising boleh menyebabkan masalah kognitif dan dikaitkan dengan kebimbangan.
Daripada 550,000 kes gangguan membaca akibat bunyi pengangkutan, kebanyakannya (84 peratus) berpunca daripada lalu lintas jalan raya, terutamanya di kawasan bandar.
Pengangkutan kereta api menyumbang 15 peratus, manakala pengangkutan udara hanya 1 peratus.
EEA melaporkan bahawa bunyi bertanggungjawab terhadap hampir 60,000 kes gangguan tingkah laku setiap tahun di negara-negara yang dikaji.
“Mengurangkan pendedahan kepada bunyi bising di rumah dan sekolah dapat meminimumkan kesan buruk ini terhadap kanak-kanak, yang mungkin mempengaruhi peluang hidup dan kualiti hidup mereka,” menurut kajian tersebut.
Agensi yang berpangkalan di Copenhagen itu mencadangkan usaha difokuskan kepada pengurangan bunyi dari sumbernya, termasuk mengurangkan had kelajuan, bunyi enjin dan tayar, serta mempertingkatkan penebat dan mewujudkan zon penampan hijau. – ANN/The Star