Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencemaran di India terkawal semasa perintah berkurung

    NEW DELHI – Penularan wabak COVID-19 secara global banyak merubah norma kehidupan sesebuah negara, sehingga memberi kesan kepada kesihatan awam malah menjejaskan ekonomi negara.

    Namun, di sebalik penularan wabak ini sebenarnya ada kesan yang positif kepada negara dan orang ramai. Semenjak langkah membendung penularan wabak ini dikuatkuasakan, keadaan alam sekitar negara itu sedikit sebanyak mengalami perubahan yang baik. Keadaan pencemaran udara dan air semakin berkurangan berikutan arahan penutupan yang membuat orang ramai hanya terkurung di dalam rumah.

    Sebagaimana di India, arahan penutupan yang dipanjangkan untuk membendung penularan wabak koronavirus telah menutup sekolah, tempat kerja, industri, pengangkutan, dan memaksa orang ramai duduk di rumah masing-masing.

    Hasil daripada perintah berkurung itu juga telah memberi bonus yang tidak dijangka di negara yang merupakan enam dari 10 bandar paling tercemar di dunia, kini udaranya menjadi lebih bersih.

    “Ini adalah perubahan yang besar,” kata Kunal Chopra, yang menderita bronkitis kronik dan tidak lagi memulakan perjalanan pada waktu pagi dengan menggunakan alat sedut pernafasan. “Udaranya jauh lebih segar dan masalah pernafasan saya berkurangan.”

    Gambar bertarikh 25 Mac 2020, menunjukkan keadaan langit yang cerah di India Gate dari pemandangan di Raisina Hills, New Delhi, India. – AP

    India mencatatkan kematian yang berkaitan dengan pencemaran tertinggi di dunia dengan lebih daripada 2 juta kematian setiap tahun, menurut laporan pada bulan Disember 2019 oleh Perikatan Kesihatan dan Pencemaran Global.

    Pada 25 Mac lalu, hari pertama lockdown, tahap purata PM 2.5 menurun sebanyak 22 peratus dan nitrogen dioksida daripada pembakaran bahan bakar fosil berkurangan sebanyak 15 peratus, menurut data pencemaran udara yang dianalisis oleh Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara yang bersih.

    “Ini adalah masa yang luar biasa,” kata Anumita Roychowdhury, pengarah eksekutif di Pusat Sains dan Alam Sekitar, sebuah organisasi penyelidikan dan sokongan di New Delhi. Dia mengaitkan penurunan pencemaran udara dengan kenderaan yang berkurangan di jalan, aktiviti pembinaan, dan kilang-kilang yang ditutup.

    “Orang lebih terdedah semasa pandemik di daerah yang memiliki pencemaran yang tinggi,” katanya.

    “Paru-paru dan hati kita sudah terganggu, dan kita tidak dapat melawan virus.”

    India telah melaporkan hampir 22,982 kes COVID-19 yang disahkan dan 1008 kematian. Langkah-langkah lockdown ketat akan dibatalkan pada 3 Mei ini juga telah mempengaruhi sungai-sungai India.

    Gambar-gambar perairan yang jernih dan bersih di Sungai Gangga, sungai terpanjang di India yang dianggap suci oleh penganut Hindu, dikongsi dengan bersemangat di media sosial beberapa minggu ketika perintah lockdown. Badan pemantau pencemaran India mengatakan bahawa air menjadi sesuai untuk mandi di beberapa kawasan, berdasarkan pemantauan secara ‘real-time’ yang ditempatkan di sepanjang sungai sepanjang 2.575 kilometer itu.

    Analisis baru-baru ini oleh Lembaga Kawalan Pencemaran Delhi mendapati bahawa kualiti Sungai Yamuna yang mengalir di sepanjang New Delhi juga bertambah baik semasa lockdown. Laporan itu menyebutkan penurunan aliran dari 28 kelompok industri dan sampah yang berkurangan.

    “Penutupan itu telah dengan jelas memberitahu kami apa sumber utama pencemaran,” kata Vimlendu Jha, seorang ahli alam sekitar dan pengasas Swechha, sebuah organisasi bukan kerajaan yang membantu belia memerangi perubahan iklim.

    “Limpahan air pembetungan masuk ke dalam sungai kita, dan itulah sebab utama mengapa sungai kita hitam.”

    Jha dan pakar-pakar lain memberi amaran bahawa penambahbaikan alam sekitar mungkin tidak lama kerana pemerintah akhirnya menghentikan lockdown dan aktiviti ekonomi yang berleluasa disambung semula.

    “Bagaimana lockdown hanya beberapa minggu dapat mencapai apa yang tidak dapat dilakukan pemerintah selama beberapa dekad?” kata Jha, yang percaya pihak berkuasa harus mengkaji data yang dikumpulkan semasa perintah berkurung untuk merangka dasar persekitaran yang lebih baik.

    Roychowdhury mencadangkan tempat kerja swasta yang mengalihkan pekerjaan mereka dalam talian semasa lockdown harus menjadikan kerja dari rumah untuk mempertimbangkan kesan perjalanan terhadap pencemaran udara. Tetapi itu bukan untuk semua orang.

    Ashok Mandal, seorang pembawa beca di New Delhi, menghabiskan berjam-jam untuk mencari penumpang di jalanan tetapi dia langsung tidak menemuinya.

    Bekerja membawa beca untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 400 rupee (AS$5) setiap hari untuk mengangkut penumpang di kawasan perumahan, pendapatannya telah dikurangkan menjadi 70 rupee (AS$1) kerana mengambil dan menghantar barangan makanan.

    “Udara bersih tidak bermakna bagi saya,” kata Mandal.

    “Saya hanya berusaha melalui kehidupan setiap hari.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda