Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Pencemaran jejas ikan di Tasik Qarun

    EL-FAYOUM, MESIR – Pencemaran air yang tidak terkawal telah menyebabkan pengeluaran ikan di Tasik Qarun tergendala, nelayan tempatan berada dalam kesusahan yang teruk ‘kerana kadar pengangguran semakin meningkat dan sumber pendapatan semakin lenyap,” kata seorang pegawai perikanan tempatan.

    “Hampir 650 bot yang beroperasi di tasik itu telah berhenti kerana tasik itu tidak lagi menghasilkan ikan,” jelas Ragab KirAllah, datuk bandar nelayan Tasik Qarun di wilayah El-Fayoum, kira-kira 80km barat daya ibu kota Kaherah kepada Xinhua.

    Qarun yang berkeluasan 1,385km persegi dianggap sebagai tasik air tawar tertua di Mesir dan rizab berharga.

    Bagaimanapun, ekosistemnya sangat kritikal selepas kumbahan perbandaran dan sisa pertanian dibuang ke perairan, yang menyebabkan kemasinan pada tahap tidak sesuai untuk didiami ikan.

    “Dulu orang ramai minum air tawar dari tasik, tetapi kini baunya teruk dan mereka yang berenang di tasik akan mengalami gatal kulit dan batuk,” tambah KirAllah.

    Keadaan Tasik Qarun yang tercemar mengakibatkan pengeluaran ikan terhenti, nelayan tempatan berada dalam kesusahan yang teruk. – Xinhua
    Kelihatan para nelayan membetulkan jaring ikan mereka di tepi Tasik Qarun di wilayah Fayoum, Mesir. – Xinhua

    Tahun-tahun kebelakangan ini telah menyaksikan rekod pengeluaran ikan merosot, disebabkan faktor seperti penangkapan ikan berlebihan, teknik penangkapan tidak mampan, pencemaran dan kemerosotan habitat, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Kehidupan Akuatik dan Perikanan Mesir.

    Ini diikuti dengan cabaran parasit, mencetuskan satu lagi tamparan hebat kepada perikanan tempatan, dedah kajian Mesir.

    “Walaupun parasit isopod sudah lama diperhatikan dan dianggap sebagai sebahagian daripada ekosistem akuatik, hari ini, ia mendapat perhatian yang besar kerana menyebabkan kerosakan serius kepada Tasik Qarun,” kata Atta Allah Abdel-Tawab, pengerusi stesen air di kampung berhampiran.

    Parasit isopod melekat pada insang dan melumpuhkan ikan.

    “Ia menyebabkan lebih 70 peratus kehilangan tangkapan tasik kerana dikaitkan dengan banyak ikan yang penting secara komersial,” kata Atta Allah Abdel-Tawab.

    Air masin adalah inkubator terbaik untuk isopod, katanya. Menurut Pusat Penyelidikan Kebangsaan yang dikendalikan kerajaan, setiap liter air di tasik itu mengandungi 40 gram garam.

    Menurut Penguasa Sumber Ikan (FRC) di El-Fayoum, pengeluaran ikan tasik itu telah merosot kepada 873 tan pada 2016 daripada 4,522 tan pada 2014 selepas wabak isopod.

    “Pengeluaran semasa tasik sangat merosot,” kata Salah Al-Nady, ahli FRC.

    “Tasik itu adalah satu-satunya sumber pendapatan keluarga dan nenek moyang saya selama ratusan tahun,” kata Moussa Monem, seorang nelayan berusia 64 tahun dari Shakshouk, sebuah kampung di pinggir tasik.

    Pencemaran itu telah membentuk mendapan garam di dasar tasik, yang menimbulkan bau busuk yang membunuh ikan, kata lelaki tua itu, sambil berkata pengeluaran ikan telah mencapai ‘paras sifar’, dan yang lebih teruk ialah diberhentikan kerja, selain peralatan memancing dan bot mereka rosak.

    Pihak berkuasa Mesir sedang berusaha untuk memulihkan tasik itu.

    Ahmad Al-Ansary, gabenor El-Fayoum, berkata terdapat beberapa projek pencairan garam sedang dijalankan untuk mengurangkan kemasinan tasik dan memulihkan sumber perikanan, menekankan “kesungguhan kerajaan untuk memulihkan keseimbangan ekologi” demi mata pencarian tempatan.

    Al-Ansary menekankan Akademi Penyelidikan Saintifik yang dikendalikan kerajaan dan FRC telah menjalani analisis berasingan tentang kualiti air, dan semua keputusan akan disemak untuk membangunkan pelan tindakan yang jelas untuk menangani masalah dan membantu memulihkan pengeluaran ikan tasik. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...