PARIS, 4 OGOS – Pencemaran plastik merupakan bahaya serius, semakin meningkat dan kurang diberi perhatian terhadap kesihatan yang merugikan dunia kira-kira AS$1.5 trilion setahun, menurut amaran pakar dalam laporan hari ini.
Kajian semula bukti sedia ada, yang dijalankan oleh penyelidik kesihatan dan doktor terkemuka, diterbitkan sehari sebelum rundingan baharu diadakan di Geneva bertujuan untuk memeterai perjanjian global pertama mengenai pencemaran plastik.
“Plastik menyebabkan penyakit dan kematian dari usia anak damit hingga warga emas dan bertanggungjawab ke atas kerugian ekonomi berkaitan kesihatan melebihi AS$1.5 trilion setiap tahun,” kata kajian dalam jurnal perubatan, The Lancet.
Membandingkan plastik dengan pencemaran udara dan plumbum, laporan itu berkata kesannya terhadap kesihatan boleh dikurangkan melalui undang-undang dan dasar yang sesuai.
Para pakar menggesa perwakilan dari hampir 180 buah negara yang berkumpul di Geneva supaya akhirnya mencapai persetujuan terhadap perjanjian selepas percubaan gagal sebelum ini.
Philip Landrigan, seorang doktor dan penyelidik di Kolej Boston di Amerika Syarikat, memberi amaran bahawa golongan rentan, terutamanya kanak-kanak, paling terjejas oleh pencemaran plastik.
Para penyelidik juga memberi amaran tentang zarah plastik halus iaitu mikroplastik, yang telah ditemui di seluruh alam semula jadi juga pada badan manusia.
Kesan penuh mikroplastik terhadap kesihatan masih belum diketahui sepenuhnya, tetapi penyelidik telah memberi amaran tentang potensi kesan plastik itu.
Menurut laporan, jumlah pengeluaran plastik global telah meningkat daripada dua juta tan pada 1950 kepada 475 juta tan pada 2022. Jumlah itu dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2060. – AFP


