Friday, November 15, 2024
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencemaran plastik umpama ‘bom jangka’

    PARIS, 29 MEI – Presiden Perancis Emmanuel Macron hari ini memberi amaran bahawa pencemaran plastik global adalah ‘bom jangka’, ketika para diplomat memulakan rundingan lima hari di Paris untuk mencapai kemajuan berhubung perjanjian menamatkan sisa plastik.

    Perwakilan daripada 175 buah negara yang mempunyai cita-cita berbeza bertemu di ibu pejabat UNESCO dengan tujuan melaksana perkembangan ke arah mencapai perjanjian bersejarah yang meliputi keseluruhan kitaran hayat plastik, menjelang tahun depan.

    Semasa rundingan dibuka, ketua rundingan Gustavo Meza-Cuadra Velazquez berkata cabaran itu adalah ‘besar, seperti yang kita semua sedia maklum di sini, namun ia tidak dapat diatasi’.

    “Mata dunia tertumpu kepada kita,” katanya. Macron menggesa negara yang mengambil bahagian untuk menamatkan model pengeluaran ‘globalisasi dan tidak mampan’ hari ini, di mana negara yang lebih kaya mengeksport sisa plastik kepada yang lebih miskin.

    “Pencemaran plastik adalah bom jangka dan pada masa yang sama sudah menjadi kesengsaraan hari ini,” katanya dalam mesej video, sambil menambah bahan berasaskan bahan api fosil itu menimbulkan risiko kepada matlamat pemanasan global, biodiversiti dan kesihatan manusia.

    Gambar fail bertarikh 8 November 2022 menunjukkan kanak-kanak duduk dalam sampan bersama botol plastik yang dikutipnya di sungai Makoko di Lagos, Nigeria. Para perunding seluruh dunia berkumpul di UNESCO di Paris pada 29 Mei untuk perbincangan kali kedua ke arah perjanjian menamatkan pencemaran plastik menjelang 2024. – AP

    Tambahnya, keutamaan rundingan itu adalah untuk mengurangkan pengeluaran plastik dan menegah produk yang paling mencemarkan seperti plastik sekali pakai itu ‘secepat mungkin’.

    Pertaruhannya adalah tinggi, memandangkan pengeluaran plastik tahunan meningkat lebih dua kali ganda dalam 20 tahun kepada 460 juta tan dan berada di landasan untuk meningkat tiga kali ganda dalam tempoh empat dekad.

    Dua pertiga daripada pengeluaran itu dibuang selepas digunakan sekali atau beberapa kali, dan berakhir sebagai sisa. Lebih satu perlima dibuang atau dibakar secara haram dan kurang 10 peratus dikitar semula.

    Ketua Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Inger Andersen memberitahu delegasi bahawa budaya plastik yang dibuang adalah ‘pencemaran berlambak, mencekik ekosistem, memanaskan iklim, merosakkan kesihatan kita’ dan yang paling rentan terjejas teruk.

    “Hanya penghapusan, pengurangan, pendekatan kitaran hayat penuh, ketelusan dan peralihan yang adil, boleh membawa kejayaan kerana hakikatnya kita tidak boleh mengitar semula jalan keluar dari kekacauan ini,” katanya kepada perwakilan dengan tepukan gemuruh.

    Pada Februari 2022, negara-negara pada dasarnya bersetuju dengan keperluan untuk memeterai perjanjian PBB bagi menamatkan pencemaran plastik di seluruh dunia, menetapkan tarikh akhir 2024.

    Mesyuarat Paris, yang berlangsung hingga 2 Jun itu adalah yang kedua daripada lima sesi dalam proses tersebut.Tindakan dasar yang akan dibahaskan semasa rundingan itu termasuk larangan global terhadap barangan plastik sekali guna, skim ‘bayaran pencemar’, dan cukai ke atas pengeluaran plastik baharu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda