PARIS, 4 FEB – Pencemaran udara mendorong peningkatan kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok, menjejaskan teruk wanita dan penduduk di Asia Tenggara, menurut satu kajian yang diterbitkan hari ini.
Kanser paru-paru merupakan jenis penyakit yang paling umum, dengan 2.5 juta orang didiagnosis pada 2022, kata kajian itu, yang diterbitkan dalam jurnal Lancet Respiratory Medicine sempena Hari Kanser Sedunia.
Kebanyakan mereka terdiri daripada lelaki tetapi terdapat juga peningkatan hampir sejuta kes dalam kalangan wanita.
Menurut penulis dalam kajiannya yang dibiayai oleh China, sub jenis utama kanser paru-paru – adenokarsinoma – telah menjadi kanser utama dalam kalangan wanita di 185 negara.
“Pencemaran udara boleh dianggap sebagai faktor penting yang sebahagiannya menjelaskan penyebaran adenokarsinoma yang semakin meningkat di mana ia menyumbang kepada 53 hingga 70 peratus daripada kes kanser paru-paru dalam kalangan orang yang tidak pernah merokok di seluruh dunia,” kata kajian itu.
Mereka mendapati ia meningkat dalam kalangan lelaki dan wanita dari 2020 hingga 2022, dengan tahap tertinggi dalam kalangan wanita, di mana ia menyumbang kira-kira enam dalam 10 kes.
“Memandangkan tabiat merokok terus menurun di kebanyakan negara di seluruh dunia, kadar kanser paru-paru ke atas orang yang tidak pernah merokok telah meningkat,” kata penyelidik. – AFP