Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencemaran udara punca Thailand hilang pengunjung

    Gambar AFP

    CHIANG MAI, THAILAND – Tahap pencemaran yang berbahaya di utara Thailand telah menyebabkan bandar bersejarah Chiang Mai diliputi dengan jerebu yang tebal, dengan penduduk tempatan bimbang tentang kesan terhadap pelancongan – dan kesihatan mereka, yang berlarutan dari awal April sehingga minggu lalu.

    Asap dari kebakaran hutan dan pembakaran jerami oleh petani telah menyebabkan pencemaran ke atas bandar pelancongan tersebut, dan platform pemantauan udara global IQAir menilainya sebagai salah satu tempat yang paling tercemar di dunia – di atas tempat-tempat biasa seperti Lahore dan Delhi.

    Penduduk telah memohon pihak kerajaan untuk bertindak, dengan gambar dan video kabut tebal menarik perhatian awam menjelang pilihan raya kebangsaan yang dinantikan pada bulan Mei.

    Pada pertengan April, kehidupan harian di Chiang Mai berterusan, walaupun rekod menunjukkan tahap zarah PM2.5 yang paling berbahaya – zarah begitu kecil sehingga ia boleh memasuki aliran darah – melebihi 30 kali garis panduan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menurut IQAir.

    “Ia membuatkan saya merasa sedih,” kata Kanchaya Boontan, 40, yang mengendalikan sebuah firma pelancongan, CM Siam Travel.

    Pemandangan bandar Chiang Mai yang diselubungi oleh asbut tebal akibat pencemaran udara.
    Gambar yang diambil pada 10 April 2023 menunjukkan seorang pegawai memeriksa kualiti udara di NARIT, Chiang Mai.
    Pelancong berada di kuil Doi Suthep, Chiang Mai melihat asbut tebal yang mengganggu jarak pemandangan.

    “Tahun ini jerebu sangat teruk, kebiasaannya pencemaran berlaku tidak terlalu lama namun warga asing sudah menyaksikan berita,” katanya, sambil memperbetulkan pelitup muka N95 yang dipakainya.

    Kanchaya baru sahaja kembali bekerja selepas pandemik COVID memaksa kesemua empat kedainya ditutup.

    Malahan Thai Hotel Association Northern Chapter memberi amaran bahawa pelancong domestik telah membatalkan tempahan percutian mereka disebabkan oleh tahap pencemaran.

    “Minggu lalu, saya hanya mempunyai seorang pelanggan. Minggu ini langsung tiada,” kata Boontan.

    Tidak jauh dari pagar Tha Phae kuni, seorang penjual jus oren berusia 45 tahun, Aun cuba menarik pelanggan.

    “Ia memberi kesan kepada kehidupan saya setiap hari, sama ada kesihatan saya atau jumlah pelancong yang semakin berkurang,” katanya.

    “Ada harinya saya sukar untuk melihat jalan di hadapan saya, ia bukan kabus tetapi asbut.”

    Pencemaran sebahagian besarnya berpunca daripada petani membakar ladang mereka, kata Siwatt Pongpiachan, seorang konsultan atmosfera di Institut Penelitian Astronomi Nasional Thailand.

    Perubahan pola cuaca global dan topografi Chiang Mai yang memerangkap pencemaran telah menyebabkan ‘peningkatan PM2.5 sehingga memburukkan keadaan pada tahun ini,’ katanya.

    Tahun ini sahaja, hampir dua juta orang di Thailand memerlukan rawatan di hospital kerana masalah pernafasan berpunca daripada pencemaran udara, menurut kementerian kesihatan awam.

    Pakar kardiologi Chiang Mai, Rungsrit Kanjanavanit memberitahu AFP bahawa pegawai kerajaan tidak melakukan usaha yang secukupnya untuk menangani pencemaran, kebimbangan mengenai kesan ke atas ekonomi pelancongan yang penting untuk negara itu.

    “Kita sepatutnya lebih mengambil berat tentang kesihatan tetamu – itu sepatutnya menjadi keutamaan.”

    Pencemaran lebih mendatangkan kesan kepada kanak-kanak dan warga emas, tambah Rungsrit.

    “Bagi setiap 10 mikrogram per milimeter PM2.5, terdapat satu tahun kurang jangka hayat. Awda perlu mengalihkannya dengan julat pendedahan,” katanya.

    “Semua orang menghirup udara, jadi kesan ke atas penduduk adalah sangat tinggi.”

    “Matahari berwarna merah terang kerana asap di langit, ia sangat pelik dan berkabus,” kata seorang pelancong dari Britain, Lucy Cooper.

    “Saya tidak dapat melihat lebih jauh,” katanya. Pelancong berusia 34 tahun yang mengembara bersama pasangan dan dua anak mereka berkata dia dinasihatkan untuk tidak datang ke sana.

    “Ia tidak sesuai dan kami tidak dapat melihat gunung. Ia sangat mengecewakan.”

    Chokchai Mongkolcho, yang melawat dari wilayah Roi Et di timur laut, berkata asbut telah ‘menyembunyikan keindahan bandar’.

    “Ia membuatkan saya tertanya-tanya sekiranya saya akan pulang ke sini jika masih berlaku pencemaran.”- AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda