KAJIAN terbaharu mendapati, pencemaran udara menyumbang kepada 10 peratus peningkatan kes barah.
Penyelidik di Universiti Illinois, Amerika Syarikat percaya, pencemaran udara menyebabkan pertambahan 451 kes daripada 100,000 orang iaitu bersamaan dengan 28,600 pesakit kanser di Britain sejak empat tahun lalu. Ketua Penyelidik, Dr. Jyotsna Jagai berkata, potensi menghidap barah antara lain dipengaruhi oleh faktor genetik, namun pencemaran alam sekitar didapati menjadi punca di sebalik itu.
“Pencemaran alam sekitar merosakkan DNA (asid deoksiribonukleik), mengubah cara gen bekerja dan seterusnya menukar hormon-hormon penting,” katanya. Menurut Jagai, sebelum ini, kanser paru-paru dikaitkan dengan pendedahan terhadap asap diesel dan polisiklik hidrokarbon yang dihasilkan kenderaan, namun pencemaran itu kini dipercayai turut meningkatkan risiko kanser prostat dan kanser payudara.
“Pendedahan terhadap pencemaran udara boleh mengganggu dan mengubah pelbagai proses biologi tubuh termasuk pengeluaran dan fungsi hormon, keradangan dan kerosakan DNA,” ujarnya. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Cancer itu merupakan penyelidikan pertama seumpamanya yang mengkaji hubung kait antara pendedahan terhadap pencemaran alam sekitar dengan kanser.