Wednesday, September 18, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penceritaan alam semula jadi dan hidupan liar didik kanak-kanak

    KUALA LUMPUR – Suasana petang Sabtu di ruang legar Mutiara Spaces Show Gallery, Mutiara Damansara pada Julai lalu begitu meriah dengan deraian ketawa kanak-kanak yang mengikuti program Storytelling Adventure By Anak Rimba Books.

    Duduk di atas bangku, seorang wanita berblaus hitam, berusia dalam lingkungan 40an, memegang buku cerita berbahasa Melayu bertajuk Jom Cuba Benda Baharu, begitu asyik bercerita kepada kira-kira 30 orang kanak-kanak yang duduk bersila di ruang legar itu.

    “Pada suatu ketika, ada seekor badak Sumatera kecil bernama Ronda. Dia hidup di hutan bersama Mama dan Baba (ibu dan ayah),” kata wanita bernama Farah Landemaine tentang watak haiwan hampir pupus itu dari buku cerita yang dipegangnya.

    Setelah tamat sesi Farah, muncul pula Abyan Junus-Nishizawa, di tangannya ada buku cerita bertajuk Beyond Mimo’s Tree, mengenai kisah Baby Dusky Monkey bernama Mimo.

    Dia bercerita dalam bahasa Inggeris.

    Pengasas program penceritaan Anak Rimba Books, Abyan (kiri) dan Farah (kanan) ketika ditemui media di sebuah kedai buku tempatan Sunda Shelves pada Ogos lalu. – Bernama
    Landemaine ketika sesi penceritaan buku cerita berbahasa Melayu bertajuk Jom Cuba Benda Baharu kepada kira-kira 30 kanak-kanak di Mutiara Damansara. – Bernama
    Antara buku cerita kanak-kanak siri Anak Rimba Books’ yang menjadikan haiwan hampir pupus di Malaysia sebagai watak utama. – Bernama

    Sambil menunjukkan ilustrasi berwarna-warni yang mengisahkan tentang watak monyet itu, Abyan yang turut berkebolehan menukarkan suara mengikut watak dan emosi, menyebabkan kanak-kanak dan ibu bapa yang hadir tidak kering gusi, mengikuti sesi penceritaannya.

    Bagaikan magnet bertemu dengan besi, 30 pasang mata anak-anak kecil yang berusia antara empat hingga 10 tahun yang menyertai sesi penceritaan itu, begitu khusyuk menghayati kisah yang disampaikan.

    Farah dan Abyan adalah pengasas program penceritaan dan mereka juga penulis bersama siri kanak-kanak Anak Rimba Books yang hingga kini mempunyai enam judul buku bertemakan haiwan hampir pupus sejak tahun 2017.

    BERTEMU DI JAKARTA

    Kedua-dua wanita itu bertemu ketika mengikuti suami (warganegara asing) mereka berhijrah dari Malaysia ke Jakarta kerana tugas pada tahun 2015, sehingga membawa kepada idea penerbitan buku animasi kanak-kanak bertemakan konservasi hidupan liar yang hampir pupus di Malaysia.

    “Kami berdua serasi, sama-sama rindukan tanah air. Pada awalnya, kami memulakan perniagaan batik dan selepas itu, saya tanya Farah untuk buka perniagaan lain dengan mewujudkan produk kami sendiri.

    “Saya mahu hasilkan siri buku kanak-kanak dan Farah bersedia untuk membantu saya untuk memenuhi impian ini, sebulan sebelum dia mengikuti suaminya, warganegara Perancis ke Afrika. Maka bermulalah Anak Rimba Books pada tahun 2017,” Abyan memberitahu Bernama dalam wawancara menerusi Zoom. Abyan di Jakarta sementara Farah di Benin, Afrika.

    Farah, yang mempunyai latar belakang dalam bidang teater dan seni berkata, mereka memilih tapir sebagai spesies haiwan terancam dan tema untuk buku pertama mereka bertajuk Why Don’t I Look Like You?. Ia memaparkan identiti serta penerimaan perbezaan dalam masyarakat, berkongsi pengalaman mereka berkahwin dengan bukan warganegara dan tinggal di luar negara.

    “Buku ini karya berdasarkan perkahwinan dengan bukan warganegara dan watak haiwan terancam pertama – seekor tapir kecil yang kami namakan Timo.

    “Kami bincangkan juga untuk jadikannya bersiri. Abyan juga menyimpan impian untuk mengumpul semua haiwan terancam di Malaysia agar kanak-kanak yang mendengar kisah ini dapat menghargainya. Kami juga mahu mendidik kanak-kanak bagaimana mereka boleh menjadi sebahagian daripada usaha pemuliharaan,” kata Farah yang mempunyai dua orang cahaya mata.

    Menurut Abyan, Anak Rimba dalam bahasa Inggeris Children in the Forest berhasrat untuk membawa anak-anak mengenali alam semula jadi dan memaparkan juga kanak-kanak di hutan iaitu haiwan terancam.

    “Apabila kami menulis buku-buku itu dan kemudian membacakannya, haiwan-haiwan itu seperti anak-anak kami, setiap enam watak kecil yang kami wujudkan iaitu Timo si kecil tapir ‘anak sulung lelaki ‘ kami dan watak keenam Mimo si monyet daun, anak bongsu kami.

    “Dari tahun 2017 sehingga sekarang, kami menghasilkan enam buah buku dengan pelbagai watak haiwan terancam – tapir, badak sumbu Sumatera, pepatung, harimau Malaya dan keluang terbang. Kami juga menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti RIMAU dan BORA (Bring Our Rare Animal) mengenai harimau Malaya dan badak sumbu Sumatera,” kata Abyan, menambah, buku-buku berkenaan juga diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Sepanyol dan Jepun.

    BELAJAR DARI NGO

    Abyan dan Farah sememangnya tidak mempunyai sebarang pengalaman pemuliharaan dan mereka berkolaborasi dengan NGO dalam projek Anak Rimba Books.

    “Bila sampai ke buku kedua mengenai badak sumbu Sumatera yang kami namakan Ronda, kami berjaya mendapatkan kerjasama pengasas BORA Datuk Dr John Payne. Kami turut sedar betapa pentingnya mesej untuk disampaikan bagi melindungi haiwan terancam kerana kita kehilangan badak sumbu Sumatera terakhir kita.

    “Kami begitu terkejut dan kami juga sedar perlu ada hubungan antara NGO dengan anak-anak pra-sekolah, kerana mereka adalah generasi berikutnya. Bagaimana untuk menjadikan mereka sayangkan alam semula jadi tanpa perlu menunjukkan bahagian yang menakutkan tentang kepupusan haiwan itu, tetapi menyampaikannya dalam cara yang menyeronokkan,” kata Farah.

    Abyan yang turut berkongsi pandangan yang sama berkata, dengan menggunakan cara penceritaan yang kreatif, mereka memberi ruang penting kepada haiwan terancam dan alam sekitar kerana mahu menyemai rasa sayang kepada alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak ini. Mereka juga berharap dapat mendidik anak-anak itu nilai sejagat seperti kebaikan serta menghormati alam semula jadi dan haiwan.

    Menurut Farah, selepas buku Ronda, mereka menerima geran daripada Global Environment Care (GEC) untuk menghasilkan buku mereka yang seterusnya mengenai penjagaan sungai, A River For My Family.

    “Apabila kami dapat tahu daripada NGO yang mereka pergi ke pra-sekolah untuk bercakap mengenai sungai dan penjagaannya, kami fikir macam mana mereka terangkan tentang hal itu, takkan mereka cakap tentang paras PH dan jangan buang sampah ke dalam sungai.

    “Bila NGO itu datang jumpa kami, kami hasilkan sebuah buku untuk mereka. Kami fokus kepada bagaimana mereka boleh berinteraksi dengan sistem ekologi. Menerusi buku cerita kami, anak-anak belajar haiwan boleh tinggal di dalam air dan di luar sungai. Dari situ bermula pemuliharaan,” katanya menambah, pihaknya juga menjalin kerjasama dengan The Habitat Foundation dan Jane Goodall’s Roots & Shoots Organization di Malaysia, untuk menerbitkan buku keenam mereka Beyond the Mimo’s Tree.

    FILEM ANIMASI

    Selain menerbitkan buku, Abyan berkata, mereka juga menghasilkan animasi serta video yang boleh menjadi alat sampingan semasa sesi penceritaan dengan kanak-kanak serta ibu bapa mereka.

    Farah dan Abyan melahirkan rasa puas hati dengan kerja yang mereka lakukan dalam penceritaan kanak-kanak sejak Anak Rimba Books dilancarkan pada tahun 2017 di samping sambutan positif daripada kanak-kanak, ibu bapa dan guru pra-sekolah.

    “Ini sumbangan kecil kami kepada masyarakat dan alam sekitar, dengan menyampaikan mesej harapan. Daripada buku pertama kami Why Don’t I Look Like You? kepada yang terkini, Beyond Mimo’s Tree, ia satu pengalaman berharga.

    “Seronok apabila ada anak-anak yang memberitahu saya, ‘Oh, ini buku pertama saya, Why Don’t I Look Like You? Seronok anak-anak itu membesar dengan buku-buku kami,” katanya.

    Farah berkongsi maklum balas positif yang diterima daripada seorang ibu yang mempunyai anak perempuan berusia tiga tahun yang mahu membeli siri buku Anak Rimba Books selepas membaca buku pertama mereka, Why Don’t I Look Like You?

    “Anak dia pinjam buku itu dari tadika dia belajar dan suka sangat dengan buku itu, lalu minta ibu dia belikan. Saya gembira buku pertama kami ada impak baik ke atas anak-anak,” katanya.

    BENGKEL PENCERITAAN

    Dua sahabat ini juga berharap dapat melatih lebih ramai pencerita alam semula jadi untuk membantu mereka meningkatkan kesedaran tentang isu pemuliharaan, terutama dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru pra-sekolah, ketika mereka bekerja jauh di luar Malaysia.

    Farah berharap menerusi siri Anak Rimba Books dan bengkel penceritaan, akan muncul lebih ramai pencerita yang bersemangat untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak betapa penting memulihara alam sekitar serta melindungi hidupan liar terancam. Sebagai tambahan, pencerita itu juga dapat memberi inspirasi kepada ibu bapa untuk menyertai misi mereka. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda