Oleh Nurdiyanah R. –
Amanah merupakan salah satu sifat terpuji yang dituntut dalam Islam, di mana setiap orang mempunyai amanah dan tanggungjawab yang perlu ditanai dalam semua aspek kehidupan.
Setiap insan mestilah menyedari bahawa dia sentiasa memikul amanah, baik amanah pada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara hingga menjalankan perintah agama.
Apabila seseorang yang beramanah menjalankan tugasnya dengan baik, maka orang tersebut akan semakin mendapat kepercayaan dan tanggungjawab yang lebih besar.
Ibarat peribahasa ‘genggam bara api, biar sampai jadi arang’, sesuatu pekerjaan itu meski betapa sukar dan mencabar pun, jika diusahakan secara bersungguh-sungguh pasti membuahkan kejayaan.
Begitulah antara prinsip yang menjadi ‘resipi kehidupan’ para penerima pada Majlis Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 tahun yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, baru-baru ini.
IBARAT PELUANG SEKALI DALAM 1,000
Majlis Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung selama dua hari pada 28 April dan 1 Mei itu telah menghimpunkan 950 orang penerima secara keseluruhannya selaku penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) dan Pingat Pahlawan Periwara (PP).
Salah seorang penerima PIKB, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Dayang Norainah binti Haji Mohd Salleh yang sudah berkhidmat kira-kira 13 tahun selaku Pegawai Siasatan Lalu lintas di Daerah Polis Brunei Muara, semasa ditemui penulis mengungkapkan pengurniaan pingat berkenaan ibarat peluang yang hadir sekali dalam 1,000.
Ia pastinya menjadi satu kenangan terindah yang akan menjadi ristaan abadi di samping sebagai pencetus semangat untuk terus menabur bakti kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerajaan Baginda lebih-lebih lagi dalam sama-sama merealisasikan hasrat negara.
“Sejujurnya saya agak terkejut apabila menerima berita bakal menerima pingat ini. Ia pastinya satu penghormatan dan benar-benar rasa dihargai atas segala komitmen kerjaya selama ini.
“Insya Allah, saya berharap ia dapat memberi sumber inspirasi kepada lebih ramai orang di samping terus meningkatkan prestasi profesion dengan lebih cemerlang dari semasa ke semasa,” ujar beliau.
Dalam pada itu, penulis turut berkesempatan menemu bual Penolong Penguasa Polis (ASP) Dayangku Husmawati binti Pengiran Hussin, selaku penerima PIKB pada majlis tersebut.
Beliau mengongsikan kebolehpercayaan dan kejujuran sebagai prinsip yang ditekankan sepanjang meniti kerjayanya selama 13 tahun demi menjauhi daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sewajarnya.
Beliau yang menjawat jawatan selaku Ketua Unit Penyiasatan dan Penyelidikan di Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL) turut menyentuh mengenai kepentingan kepimpinan dan bimbingan dalam pasukan polis mahupun mana-mana kerjaya yang diceburi yang mana sudah menjadi satu keperluan bagi seorang pegawai itu terus menunjukkan contoh terbaik kepada rakan-rakan sekerja dan masyarakat amnya.
SENTIASA PROAKTIF, PERKASA KERJAYA
Sementara itu, salah seorang penerima PIKB yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Foto Tingkat I di Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, Haji Ariffin bin Mohd Noor @ Morshidi turut melahirkan ucapan rasa syukur atas penganugerahan pingat yang diterima itu.
Menurut beliau, anugerah tersebut pastinya menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan bagi kepentingan jabatan khususnya dan negara amnya.
Beliau yang sudah berkhidmat lebih kurang 20 tahun sebagai warga perkhidmatan awam, menekankan setiap pekerjaan sudah tentunya memiliki cabaran-cabaran tersendiri namun satu hal yang perlu ditekankan dalam diri adalah sentiasa memiliki kemahuan untuk menimba ilmu dan pengalaman dari semasa ke semasa demi memantapkan bidang kerjaya yang ditugaskan.
“Apa pun kerjaya yang dipegang tidak kira dalam sektor kerajaan mahu pun swasta, salah satu perkara yang perlu disemai dalam diri masing-masing adalah sentiasa membetulkan niat kepada Allah SWT.
“Adalah mustahak untuk kita memiliki disiplin dan semangat kerja berkumpulan yang tinggi tanpa mengira status dan pangkat ketika bertugas di samping mengamalkan integriti berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja,” tambahnya.
SUMBER MOTIVASI KEPADA PENERUS BANGSA
Seorang lagi penerima PIKB yang berkhidmat sebagai Penolong Penyelia Rekod dan Skim Pendapatan, Bahagian Penerimaan dan Pembebasan, Institusi Penjara Wanita di Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Koperal Wadar 613 Hajah Erni binti Haji Abd Rahim semasa ditemui penulis, berkata pengurniaan pingat berkenaan akan menjadi sumber motivasi kepada dirinya dan rakan-rakan seperjuangan yang lain untuk sama-sama menjadi contoh terbaik kepada pekerja-pekerja baharu mahu pun golongan generasi muda sebagai penerus bangsa yang bakal menerajui tanah air kita.
“Antara prinsip yang perlu dititikberatkan dalam dunia pekerjaan adalah sentiasa bersikap terbuka dalam menerima teguran dan arahan daripada pihak pegawai atasan dan jauhi sikap berkira.
“Jika diberikan tanggungjawab, kita mestilah memikul amanah itu dengan sebaik-baiknya dengan tahap kemampuan yang optimum selain terus meningkatkan lagi mutu dan kualiti kerja serta disiplin dari semasa ke semasa,” kongsi beliau yang sudah berkhidmat 21 tahun dalam bidang kerjayanya.
Sebelum mengakhiri kata-katanya, Koperal Wadar 613 Hajah Erni turut memberikan saranan peribadi khususnya bagi para graduan yang sudah mendapat karier ataupun bakal membuka lembaran baharu dalam dunia pekerjaan, agar sentiasa memanfaatkan apa sahaja ilmu pengetahuan asas yang sudah dipelajari selama ini di samping sentiasa menimba kemahiran daripada insan-insan yang lebih berpengalaman.
Memiliki sifat amanah menjadi tonggak penting dalam semua aspek kehidupan termasuk urusan pekerjaan. Segala tanggungjawab dan tugas yang dilaksanakan hendaklah benar-benar menepati konsep dengan meletakkan pekerjaan yang digalas sebagai ibadat.
Sebagai seorang Islam kita mestilah mempercayai segala perbuatan yang dilakukan di dunia akan mendapat pembalasan sama ada ganjaran pahala atau azab seksaan di akhirat nanti.