Sunday, December 29, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencinta labah-labah kongsi pengetahuan

    Oleh Gena Soh dan Ang Qing
    Gambar ANN/The Straits Times

    SINGAPURA – Kami menyalakan lampu yang disisip di kepala ke arah hutan yang gelap dan cahaya lampu menyuluh lapangan.

    Ketika cahaya lampu kami menerangi lantai hutan, titik-titik jingga, hijau dan biru berkelap-kelip seperti bintang di atas tanah.

    “Mata labah-labah berkilau dalam kegelapan kerana fenomena yang dipanggil ‘eyeshine’, dan ini terjadi kerana terdapat lapisan sel di belakang retina yang memantulkan cahaya kembali melalui retina,” kata Joseph Koh, bekas duta dan pakar labah-labah.

    Menurut Koh, 74, sebahagian besar haiwan nokturnal itu mempunyai ‘eyeshine’ kerana pantulan cahaya melalui mata haiwan itu untuk kali kedua membolehkannya melihat dengan lebih baik dalam keadaan gelap.

    Sebahagian labah-labah yang berburu tanpa menggunakan sarang labah-labah lebih bergantung kepada penglihatan malam.

    Joseph Koh mencari labah-labah pada waktu malam.
    Antara spesies labah-labah yang dijumpai.

    Labah-labah bersembunyi di atas daun agar sukar dikesan oleh binatang pemangsa.

    Baru-baru ini, wartawan The Straits Times menyertai Koh dan isterinya, Koh Peifen serta rakannya Chris Ang, yang juga peminat labah-labah, untuk berjalan-jalan pada waktu malam berhampiran hutan di tepi tempat letak kereta di Springleaf, Singapura untuk mengetahui bagaimana golongan amatur dapat mencari labah-labah.

    “Ini adalah contoh salah satu labah-labah pemburu lumut,” kata Koh, sambil menghalakan cahaya ke arah pokok berhampiran dan menemui labah-labah yang mempunyai lapan biji mata yang memantulkan cahaya berkilauan berwarna zamrud.

    “Labah-labah pemburu mempunyai ‘eyeshine’ yang berkilau kerana ia memerlukan penglihatan yang baik untuk menangkap mangsanya,” katanya.

    Ketika dia mengalihkan lampu daripada labah-labah itu, badan haiwan itu seakan-akan menyerupai kulit kayu berlumut.

    “Tanpa cahaya lampu ini, labah-labah tersebut mungkin dapat mengelak daripada disedari.

    “Setiap labah-labah mempunyai ‘eyeshine’ yang berbeza daripada segi warna,“ kata Koh.

    Sebagai contoh, labah-labah serigala kebiasaannya mempunyai ‘eyeshine’ berwarna biru, manakala labah-labah pemburu mempunyai ‘eyeshine’ berwarna jingga, merah atau hijau, tertakluk kepada spesies.

    Kebanyakan daripada kira-kira 900 spesies labah-labah di Singapura adalah nokturnal, jadi masa terbaik untuk menangkapnya adalah pada waktu malam, jelas Ang, seorang jurugambar alam sekitar yang juga penulis bersama sebuah buku mengenai labah-labah Singapura.

    Meranduk di bawah sarang labah-labah berwarna perak di antara pohon-pohon, lelaki berusia 57 tahun ini menunjukkan bahawa sarang serangga itu dibuat semalaman.

    Ang berkata, “Labah-labah hutan mula membuat sarang pada waktu malam dan memakan sarangnya sendiri pada waktu pagi…Ia berbuat demikian untuk bersembunyi daripada pemangsa.

    “Pada waktu pagi, ia bersembunyi di bawah dedaun atau dalam sarang yang ia bina menggunakan daun, yang membuatnya lebih sukar untuk dikesan.”

    Setiap labah-labah menggunakan sarangnya secara berbeza, kata Koh, dan ia satu lagi cara untuk mengenalinya.

    Koh berkata, “Garis penyangga menampung berat ‘khemah’ dan cara ia dibina secara bergantung membuatkannya seperti jaring keselamatan.”

    Tetapi di sebalik kepelbagaian spesies dan kecantikannya, labah-labah sering dilupakan sebagai spesies yang menunjukkan hutan yang sihat kerana ia sangat sensitif terhadap
    perubahan struktur dan komposisi habitat hutan.

    Labah-labah merupakan pemangsa penting dalam ekosistem hutan, dan pengurangan dalam populasinya boleh menyebabkan penurunan populasi serangga dan menunjukkan kerosakan pada tanaman semakin meningkat.

    Spesies labah-labah yang jarang ditemui seperti labah-labah long-horned, adalah salah satu contoh yang menunjukkan keberadaannya menandakan sesuatu hutan itu sihat.

    “Labah-labah itu sebelum ini hanya ditemui di kem Nee Soon, dan pada zaman dahulu, ia tidak dijumpai kecuali di Taman Simpan Bukit Timah,” kata Koh.

    Labah-labah long-horned yang ditemui sejak beberapa tahun kebelakangan di kawasan hutan memberi gambaran kita berada ‘di hutan rimbun yang baik, dengan kanopi tebal dan kaya dengan pemangsa’.

    Ketika Singapura dilihat cuba membangunkan lebih banyak kawasan hijau untuk memenuhi permintaan penggunaan tanah yang semakin meningkat, negara itu tidak sepatutnya hanya melindungi taman simpannya, tetapi cuba sedaya upaya mengelak pembasmian kawasan hutan dengan flora dan fauna yang unik di pulau itu, katanya.

    Salah satu misi selepas persaraan mereka ialah untuk melibatkan lebih ramai orang muda dalam bidang itu dan penyelidikan biodiversiti agar mereka boleh melihat sendiri kepelbagaian tanaman dan haiwan di Singapura, tambahnya.

    Koh, yang juga bekas pengarah pemasaran Singtel, mengambil butiran seorang penuntut sekolah menengah yang menyertai mereka berjalan pada waktu malam, kagum dengannya sambil mengatakan, “Ia sangat menggalakkan melihat golongan muda sepertinya kerana sebaik sahaja kita belajar mengenai alam semula jadi, kita akan lebih menghargainya.” – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda