SAN FRANCISCO, 31 Mei – Pencipta perisian Android yang digunakan dalam telefon pintar di seluruh dunia melangkah masuk ke pasaran perkakasan dengan handset yang berjanji akan mengatasi kerumitan dan keusangan peranti sekarang.
Andy Rubin berkata di Internet bahawa beliau akan mengeluarkan telefon berkualiti tinggi dipanggil Eseential yang termasuk aksesori seperti kamera-360 yang boleh dipasang secara magnet.
“Atas segala kebaikan yang telah dilakukan oleh Android untuk membantu membawa teknologi kepada hampir kesemua orang, ia juga telah membantu mewujudkan dunia baru yang pelik di mana orang dipaksa bertarung dengan teknologi yang sepatutnya memudahkan kehidupan mereka,” kata beliau.
Telefon pintar Essential pertama akan dikeluarkan di Amerika Syarikat, di mana ia boleh ditempah di laman web www.essential.com dengan harga AS$699. Kamera-360 boleh ditempah dengan harga tambahan AS$50.
Rubin menjangka telefon Essential, yang menggunakan perisian Android, mula dihantar dalam kira-kira 30 hari.

Rubin berkata beliau menubuhkan syarikat di sebalik Essential untuk menggunakan “kaedah abad ke-21 untuk mencipta produk untuk gaya hidup orang pada abad ke-21.”
Misi tersebut termasuk membenarkan orang memutuskan ciri-ciri yang diingini oleh mereka pada telefon, mengekal produk dalam keadaan ringkas, menggunakan bahan premium dan membolehkan peranti berubah supaya mereka tidak “menjadi lapuk setiap tahun.”
Projek Ara yang ditinggalkan oleh Google memikir-mikirkan idea pengguna telefon pintar boleh membuat telefon mereka secara tempahan dengan komponen bermodul. Bagaimanapun, Motorola baru-baru ini mulai menjual telafon pintar bermodul mereka sendiri yang menggunakan Android.
Rubin adalah pengasas bersama Android, yang dibeli oleh Google pada 2005.
Google mengeluarkan perisian Android, yang menjana kebanyakan telefon pintar di dunia, boleh diperoleh secara percuma kepada pembuat peranti.
Namun Rubin meninggalkan syarikat kira-kira tiga tahun lalu untuk melancarkan satu dana yang dikhaskan untuk mengusahakan firma baru teknologi perkakasan.
Essential perlu bersaing dalam pasaran yang pesat.
“Andy Rubin mempunyai reputasi dan apa-apa yang dilancarnya akan menerima penghormatan,” kata penganalisis Penyelidikan Jackdaw Jan Dawson. – AFP