Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencipta permainan video bimbang AI bakal rampas ‘alat kawalan’

    PARIS – Model kecerdasan buatan generatif yang mampu menghasilkan watak ultra-realistik dan alam maya terperinci berpotensi menjadikan permainan video masa depan lebih murah dan berkualiti tinggi, namun kemunculan teknologi ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan artis serta pembangun permainan.

    Pada masa ini, “AI generatif digunakan jauh lebih meluas dalam pembangunan permainan komersial berbanding apa yang orang sangka, tetapi dalam skala kecil,” seperti untuk alih suara, ilustrasi atau bantuan pengekodan, kata Mike Cook, pereka permainan dan
    pensyarah sains komputer di King’s College London.

    Penggunaan sedemikian jarang dapat dikesan oleh pemain dalam versi akhir sesuatu permainan, tambahnya.

    Satu kajian oleh syarikat pemula Amerika, Totally Human Media, mendapati hampir 20 peratus tajuk yang tersedia tahun ini di platform Steam mengakui penggunaan AI generatif dalam proses pembangunannya.

    Angka itu merangkumi beberapa ribu permainan yang dikeluarkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk judul popular seperti Call of Duty: Black Ops 6 dan permainan simulasi Inzoi.

    Pengunjung menghadiri Paris Games Week 2025, acara permainan video terbesar di Perancis, yang diadakan di Paris Expo Porte de Versailles. – AFP
    Mario, salah satu watak permainan video paling terkenal di dunia, bergambar bersama seorang pengunjung di reruai Nintendo. – AFP
    Konsol permainan video yang digunakan untuk Sony Playstation 5. – AFP
    Permainan Call of Duty: Black Ops 7 dipamerkan di sudut permainan video semasa pameran Paris Games Week. – AFP

    Pertumbuhan AI dijangka membolehkan studio “menggabungkan beberapa peranan kerja kepada satu, dibantu oleh alat ini,” kata perunding AI, Davy Chadwick, yang meramalkan peningkatan produktiviti sebanyak 30 hingga 40 peratus.

    Kemajuan AI berlaku pesat, dengan alat terkini mampu menghasilkan aset 3D seperti watak dan objek hanya melalui arahan teks, kemudian dimasukkan terus ke dalam dunia permainan.

    “Dulu, jika mahu mencipta model 3D berkualiti tinggi, ia mengambil masa dua minggu dan kos AS$1,000,” kata Ethan Hu, pengasas Meshy.ai yang berpangkalan di California dan mendakwa mempunyai lebih lima juta pengguna.

    “Sekarang kos hanya satu minit dan AS$2,” tambahnya.

    PERTARUHAN BESAR

    Pemain industri utama mendekati AI generatif dengan cara berbeza iaitu Electronic Arts bekerjasama dengan startup Stability AI, manakala Microsoft membangunkan modelnya sendiri dipanggil Muse.

    Pertaruhannya besar dalam industri budaya terbesar dunia, yang dijangka menjana hampir AS$190 bilion hasil pada 2025, menurut firma data Newzoo.

    Industri berharap teknologi baharu ini dapat meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos dan masa untuk membangunkan permainan berkualiti tinggi, kata Tommy Thompson, pengasas platform AI and Games.

    Namun, banyak rasa tidak percaya dan ketakutan dalam kalangan pekerja sektor ini yang sudah melalui beberapa pusingan pemberhentian pekerja dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kata seorang pekerja studio permainan Perancis yang enggan dikenali.

    Alat ini “sepatutnya menjadikan kami lebih produktif tetapi akhirnya boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan,” tambahnya.

    Beliau berkata dalam pemodelan 3D, “objek yang dihasilkan AI sangat kacau” dan tidak sesuai untuk digunakan terus dalam permainan.

    “Buat masa ini ia menjadi penghalang… masa yang diperlukan untuk membetulkannya sama seperti membuat daripada awal,” katanya.

    Ketakutan sedemikian menyebabkan syarikat besar berhati-hati daripada mengulas mengenai penggunaan AI.

    Microsoft, EA, Ubisoft dan Quantic Dream menolak untuk memberi komen apabila dihubungi AFP.

    Sebaliknya, alat AI “membantu mempercepatkan proses kreatif” dengan mengautomasikan kerja rutin, kata Felix Balmonet, pengasas bersama startup Perancis Chat3D.

    Beliau berkata syarikatnya sudah bekerjasama dengan dua daripada lima studio terbesar di dunia.

    PEMAIN CEREWET

    Ada yang bimbang menolak penggunaan AI generatif bermaksud ketinggalan dalam persaingan.

    “Kami perlu bertanya sama ada mahu menggunakannya dalam permainan seterusnya,” kata ketua satu studio Perancis yang “secara peribadi menentang” model AI dan baru sahaja menyiapkan projek bertahun-tahun “tanpa AI”.

    Kebanyakan penerbit dan pelabur yang dihubungi AFP berkata penggunaan AI bukan faktor utama dalam keputusan membiayai pembangunan permainan.

    “Awda perlu berhati-hati ketika menggunakan AI,” kata Piotr Bajraszewski, ketua pembangunan perniagaan di 11 bit Studios, Poland.

    Peminat mengecam projek terbaharu studio itu, The Alters, selepas pelancarannya pada Jun kerana mengandungi teks dijana AI tanpa penjelasan awal.

    Studio berkata kandungan itu hanyalah teks sementara yang terlupa dibuang, namun insiden itu menunjukkan betapa pentingnya hasil karya manusia bagi sesetengah pemain. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda