PARIS, 30 APRIL – Perompak bersenjata menyerbu kedai barang kemas mewah Bulgari di Place Vendome yang megah di tengah Paris semalam, melarikan diri dengan rampasan yang tidak diketahui nilainya, kata polis dan pendakwa raya.
Tiga orang menaiki dua motosikal memasuki kedai di daerah pelancongan popular itu sekitar 1:45 tengah hari waktu tempatan, kata sumber polis, memetik maklumat awal.
Jumlah kerosakan dan rampasan yang mereka curi masih dalam penilaian, tambah sumber itu.
Kedai Bulgari yang sama turut disasarkan dalam rompakan ber-senjata pada September 2021, yang kerosakannya dianggarkan 10 juta euro.
Rakaman video yang disiarkan di rangkaian sosial kelmarin menunjukkan dua motosikal hitam besar diletakkan di atas kaki lima di hadapan kedai barang kemas itu.
Seorang lelaki bertopi keledar dengan pistol dan memakai pakaian hitam kelihatan berkawal.
Kemudian, kelihatan tiga lelaki melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki dua motosikal.
Siasatan ke atas rompakan bersenjata telah dibuka, kata pejabat pendakwa raya Paris.- AFP