Wednesday, December 7, 2022
24.6 C
Brunei

-

Pencuri bersiri dijatuhi hukuman penjara, sebat

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin, menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan lapan bulan, berserta dua kali sebatan ke atas seorang lelaki warga tempatan berikutan pengakuan bersalahnya terhadap pertuduhan beberapa kes curi kenderaan dan khianat.

Mohd Dzuljalal Wal-Ikram bin Omar Ali, 31, mencuri beg sandang dari sebuah kereta yang diletakkan di Masjid Jubli Perak, Kampung Jangsak pada 3:30 petang, 3 Jun lalu.

Tingkap kereta itu dibuka sedikit dan defendan mencapai untuk membuka kunci kereta dan mengambil beg sandang yang tertinggal di dalam kenderaan tersebut. Beg itu mengandungi dokumen peribadi dan wang tunai lebih daripada $100.

Perbuatan defendan telah dirakam kamera litar tertutup di masjid berkenaan.

Pada 5 Februari, pukul 4:30 petang, defendan membaling batu ke arah sebuah kereta yang diletakkan di Pantai Tungku, memecahkan cermin belakangnya, dan menyebabkan kerosakan bernilai $500.

Dia kemudian mengambil sebuah beg dari dalam kereta itu, mengambil wang tunai $300 daripadanya dan melemparkan beg itu bersama-sama baki kandungannya dalam perjalanan ketika melarikan diri dari tempat kejadian.

Sementara itu, kira-kira tengah hari pada 6 Mei, defendan memandu keretanya dan meletakkan kenderaan di kawasan tanah perkuburan Pulau Kubu di Kampung Jerudong di mana terdapat kenderaan jemaah solat Jumaat.

Dia kemudian meninjau di sekeliling kawasan itu dan melihat tingkap sebuah kereta yang sedikit diturunkan, mencapai dan membuka kunci kereta. Dia berjaya membawa lari beg sandang, mengambil wang tunai $105 daripadanya dan mencampakkan beg itu.

Pada 6:30 pagi 3 September pula, defendan sekali lagi pergi ke Pantai Tungku dan meninjau kereta-kereta yang diletakkan di kawasan itu.

Dia melihat beberapa syiling pada konsol sebuah kereta dan membuka tingkapnya dengan pemutar skru.

Ini menyebabkan tingkap pecah dan defendan membuka kunci kereta, mengambil
syiling bernilai $20 keseluruhannya, bersama beberapa harta benda lain.

Manakala itu, defendan pergi ke kawasan tanah perkuburan Jelutong di Kampung Jerudong pada 9 pagi, 14 Oktober di mana dia pergi ke tandas.

Dia terserempak dengan kereta yang diletakkan dan terlihat beg lampin di dalamnya. Dia membuka tingkap menggunakan pemutar skru, menyebabkannya pecah dan mengambil beg duit dan beg lampin.

Beg duit dan beg itu tidak mengandungi wang tunai, lalu defendan membuangnya.

Pendakwa Raya Aeny Zullizam memaklumkan Majistret Kanan Harnita Zelda Skinner bahawa semua kejadian telah dilaporkan kepada polis oleh pemilik yang menjadi mangsa, yang membawa kepada penahanan defendan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Penghormatan buat Jiang Zemin

BEIJING, 6 DIS – Siren kedengaran di seluruh China hari ini ketika Parti Komunis mengadakan perkabungan bekas pemimpin, Jiang Zemin, memberi penghormatan kepadanya sebagai...
- Advertisment -