KAHERAH, 19 SEPT – Polis Mesir kelmarin berkata mereka telah menahan seorang pekerja muzium dan tiga rakan yang bersubahat dalam pencurian seutas gelang emas purba dari Muzium Mesir di Kaherah dan kemudian menjualnya pada harga AS$4,000 sebelum dileburkan.
Gelang berusia 3,000 tahun itu, berupa jalur emas dihiasi manik batu lapis lazuli, berasal dari zaman pemerintahan Amenemope, firaun Dinasti ke-21 Mesir (1070–945 SM).
Artifak berharga itu disimpan dalam keadaan berkunci sebelum hilang beberapa minggu semasa dipamerkan di Itali.
Kakitangan muzium turut melaporkan gelang itu hilang dari peti besi logam di makmal konservasi muzium tersebut pada Sabtu, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Mesir.
Siasatan menunjukkan seorang pakar pemulihan yang bertugas di muzium itu mencuri gelang tersebut pada 9 September.
Seorang peniaga perak di pusat Kaherah membantunya menjual gelang tersebut, kata polis, mula-mula kepada seorang peniaga emas pada harga 180,000 paun Mesir, yang kemudian menjualnya kepada seorang pekerja peleburan emas pada harga 194,000 paun.
Gelang itu kemudian dilebur bersama sisa emas lain, menurut kementerian berkenaan.
Suspek telah ditahan dan mengaku melakukan jenayah itu, kata pihak berkuasa.
Rakaman kamera keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa Mesir menunjukkan gelang tersebut telah ditukar dengan sejumlah wang tunai di sebuah kedai, sebelum pembeli memotongnya kepada dua bahagian.
Namun, gambar kabur itu menunjukkan gelang berkenaan tidak mempunyai manik lapis lazuli yang jelas kelihatan pada gambar rasmi yang dikongsi sehari sebelumnya.
Di bawah undang-undang Mesir, mencuri artifak dengan niat menyeludup boleh dihukum penjara seumur hidup serta denda antara 1 hingga 5 juta paun Mesir (sekitar AS$20,000–AS$100,000), manakala merosakkan atau mencacatkan artifak boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda sehingga 1 juta paun. – AFP


