Pencuri kabel di Temburong terima padah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini telah menjatuhkan hukuman terhadap tiga orang warga tempatan yang mengaku bersalah dalam kes pencurian kabel di Daerah Temburong, baru-baru ini.

Mohd Zulnizam bin Zulkifli, 36, dijatuhi hukuman penjara 38 bulan berserta empat kali sebatan. Dia juga diperintahkan untuk membayar ganti rugi berjumlah $32,029.16 kepada UNN atau menjalani hukuman tambahan selama lima bulan jika gagal membayarnya.

Mohammad Jaidatul Fadillah bin Harris Fadilah, 33, pula dijatuhi hukuman penjara 20 bulan berserta dua sebatan. Dia juga diperintahkan untuk membayar ganti rugi berjumlah $24,544.68 atas kerugian yang ditanggung oleh UNN atau berhadapan dengan empat bulan penjara tambahan.

Sementara itu, Saadatul Amal Azirah binti Suhaili, 24, dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan diperintahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak $24,544.68 atau berhadapan dengan hukuman penjara empat bulan tambahan.

Ketiga-tiga mereka mengaku mencuri kabel tembaga sepanjang 250 meter milik UNN dari kawasan perkuburan di Kampung Sibulu, Temburong pada 27 Ogos. Mereka juga melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan yang disebabkan pencurian tersebut.

Mohd Zulnizam melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan ketika memotong kabel tembaga daripada Manhole 13 di kawasan itu.

Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mendengar fakta kes daripada Pendakwa Syazwani binti Jumat bahawa laporan yang dibuat mengenai kehilangan kabel UNN membawa kepada penangkapan ketiga-tiga mereka pada 29 Ogos lalu setelah dikenal pasti oleh anggota polis yang memberhentikan kereta mereka di jambatan di Pekan Bangar ketika mereka menuju ke Jalan Labu.

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa ketiga-tiga mereka telah menjual kabel yang dicuri tersebut.

Hanya 76 kilogram daripada 115 kilogram kabel tembaga yang dicuri dapat diperolehi kembali.