Friday, December 27, 2024
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencuri larikan artifak berharga di Muzium Paris

    PARIS, 21 NOV – Empat pencuri melarikan kotak tembakau antik dan artifak berharga lain dari sebuah muzium di Paris pada siang hari, semalam, dengan memecahkan kaca tempat pameran menggunakan kapak dan kayu besbol, menurut sumber yang rapat dengan kes itu.

    Kumpulan penjenayah yang memakai sarung tangan, hud dan topi keledar itu melakukan rompakan tersebut sekitar jam 10:30 pagi waktu tempatan di muzium Cognacq-Jay di daerah pelancongan Marais di tengah Paris.

    Kejadian itu berlaku di hadapan pengunjung lain di muzium, yang sudah dibuka kepada orang ramai, kata sumber tersebut.

    Tiada kecederaan dilaporkan, namun lima kotak bersejarah yang dipamerkan dalam pameran bertajuk Luxe de poche berjaya dilarikan.

    Pameran berkenaan menggabungkan koleksi dalaman muzium serta barangan pinjaman daripada institusi terkenal di seluruh dunia termasuk Louvre dan Istana Versailles di Perancis serta Koleksi Diraja Britain dan Muzium Victoria dan Albert.

    Gambar Wikipedia

    Nilai artifak yang dicuri kini masih dalam proses penilaian.

    Pendakwa raya mengesahkan kepada AFP bahawa siasatan kes rompakan bersenjata oleh kumpulan penjenayah sedang dijalankan.

    Dewan bandar Paris dalam satu kenyataan mengatakan pihaknya akan menawarkan sokongan psikologi kepada kakitangan muzium yang telah menunjukkan sikap profesionalisme tinggi dan luar biasa ketika menghadapi situasi tersebut, serta memfailkan aduan jenayah berhubung insiden tersebut.

    Pameran Luxe de poche, yang dijadualkan berakhir Ahad ini, menampilkan koleksi barangan kecil yang bernilai tinggi dari abad ke-18 hingga awal abad ke-19, menurut laman web muzium Cognacq-Jay.

    Antara barangan tersebut termasuk yang diperbuat daripada emas, dihiasi batu permata, kulit mutiara, porselin atau enamel lut sinar, yang kadang kala turut dihiasi dengan lukisan miniatur atau lukisan kecil. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda