Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencuri tak insaf, masuk penjara lagi

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Mahkamah Majistret, hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan terhadap seorang lelaki tempatan kerana mencuri di sebuah restoran dan kedai serbaneka di Berakas.

    Majistret Nur Eleana binti Dato Seri Paduka Haji Hairol Arni mengambil kira sifat tidak insaf Mohammad Sahdini bin Mohammad Doon kerana melakukan kesalahan itu selepas keluar dari penjara pada 2022.

    Mahkamah semasa menjatuhkan hukuman juga memberi penekanan kepada fakta bahawa kesalahan jenayah itu telah dirancang.

    Mengenai pengakuan bersalah defendan terhadap kedua-dua pertuduhan itu, Pendakwa Abdul Hanan bin Haji Erwan mendedahkan defendan memandu ke sebuah restoran di Kampung Orang Kaya Besar Imas selepas waktu tengah malam pada 21 September.

    Defendan telah membuka pintu restoran secara paksa dan memecahkan kunci sebelum melarikan lima tong gas dengan empat ‘kepala’ gas dan satu unit tambak gril. Defendan kemudian memasukkan barang-barang itu ke dalam bonet kereta dan memunggahnya di tempat letak kereta di bawah flat ibunya di Kampung Serasa.

    Defendan mendapatkan semula barang yang dicuri pada hari berikutnya untuk menjualnya.

    Dia memperoleh $110 daripada menjual tiga tong gas berkenaan bersama-sama kepala gas.

    Pada 22 September pukul 3 pagi, defendan memandu ke kedai serbaneka di Kampung Anggerek Desa dan menghentikan kenderaannya di depan kedai tersebut.

    CCTV yang dipasang di kedai itu merakam tindakan defendan. Namun defendan menanggalkan plat keretanya kerana melihat terdapat CCTV di situ.

    Defendan menyedari kawasan penyimpanan yang sarat dengan barangan di luar kedai lalu menggeledah kawasan itu dan menjumpai sebatang besi, yang digunakannya untuk membuka kunci ke tempat simpanan.

    Dia kemudian mengambil 11 guni besar beras, masing-masing mengandungi lima guni beras dan dimuatkan ke dalam keretanya lalu membawa barang curi tersebut ke flat.

    Pada sebelah petang, defendan menjual seguni besar beras dengan harga $42.50. Walau bagaimanapun kedua-dua kejadian itu telah dilaporkan oleh mangsa kepada polis yang membawa kepada penahanan defendan.

    Gamabr Freepik

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda