Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Minggu Lautan Brunei (OWB) dengan kerjasama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), telah membuka pendaftaran untuk beberapa siri aktiviti tertumpu kepada belia di bawah OWB 2025.
Program-program ini direka untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan dalam pemuliharaan marin di kalangan belia Brunei melalui aktiviti praktikal dan berasaskan pengetahuan.
Yang pertama ialah program Reef Ball Fabricator pada 12 Jun, yang akan berlangsung di Jeti Serasa Jabatan Perikanan. Program ini bertujuan untuk melatih belia dalam proses hands-on merekabentuk sistem terumbu tiruan khas.
Bebola terumbu itu diperbuat daripada campuran konkrit khas dengan kebanyakan bahan daripada sumber tempatan dan direka bentuk untuk meniru struktur semula jadi di mana batu karang boleh tumbuh. Dengan bahan tambahan khas, bebola terumbu dibuat pH neutral untuk memastikan tiada toksik dan menyokong pertumbuhan karang secara semula jadi, atau melalui bantuan aktiviti penanaman karang.
Seterusnya ialah program Reef Ball Discovery pada 22 Jun, turut berlangsung di Serasa, berlepas dari Poni Divers Serasa. Dalam aktiviti khusus ini, belia akan diberi peluang dilatih cara menyediakan serpihan karang untuk ditanam pada bebola terumbu yang ditempatkan di Pelong-pelongan.



Proses penanaman karang melibatkan penyelamatan karang yang telah terputus dari substrat semula jadinya yang disebut corals of opportunity dan menanamnya semula ke bebola terumbu. Selepas proses penyediaan batu karang, para belia boleh menikmati dan memerhati hidupan marin dan terumbu tiruan di bawah air sambil bersnorkeling. Pada masa yang sama, mereka dapat memerhati apabila penyelam pemuliharaan marin yang berpengalaman menyelesaikan proses penanaman karang di bawah air.
Dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD) sebagai Rakan Kongsi Pendidikan Brunei dalam OWB, Forum Belia Future Ocean Changemakers yang berlangsung pada 24 dan 25 Jun di Pusat Seni Pro Canselor, UBD, akan menghimpunkan sehingga 100 orang belia dari sekolah tempatan dan 190 lagi belia dari Kem Musim Panas UBD AUN bersama peserta dari universiti lain di rantau ASEAN yang mana mereka selama dua hari akan mengikuti bengkel interaktif, perbincangan panel dan lawatan tapak tempat kerja berkaitan lautan dengan ceramah industri lautan.
Forum ini akan memberi tumpuan kepada meneroka kerjaya dan mengambil tindakan dalam kelestarian marin. Topik akan merangkumi sains marin, pemuliharaan, akuakultur, eko-pelancongan, pekerjaan maritim dan teknologi marin baharu. Peserta akan mendapat pengalaman sebenar melalui lawatan tapak, bertemu pakar industri dan mempelajari cara kemampanan digunakan dalam bidang berkaitan lautan. Salah satu tonggak utama OWB ialah belia dengan beberapa acara, geran, dan pertandingan sepanjang tahun untuk memberi inspirasi kepada generasi ocean guardians dan ocean leaders.
Tahun ini, forum itu akan diadakan dengan kerjasama Sustainable Ocean Alliance (SOA) yang merupakan organisasi bukan untung global dengan ibu pejabat di Amerika Syarikat yang memperkasakan penyelesaian lautan yang diterajui belia merentasi lebih 160 negara.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, SOA akan memperkenalkan beberapa penceramah dan mentor daripada rangkaian antarabangsanya kepada forum, menghubungkan belia tempatan dengan pemimpin global dalam inovasi lautan, advokasi dan keusahawanan. Forum ini juga berfungsi untuk mengukuhkan peranan SOA Brunei sebagai hab serantau yang semakin berkembang.

