Friday, July 5, 2024
27.2 C
Brunei

    -

    Pendaftaran anugerah CIPTA kini dibuka

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Bertemakan Inovasi Hijau, Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 membuka tirainya hari ini dengan majlis pelancaran yang berlangsung di The Empire Brunei, Jerudong.

    Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat.

    Dalam ucapannya, Yang Berhormat Datin berkata, tema anugerah kali ini merangkumi semua bentuk kreativiti dan kebolehan yang meminumkan kemudaratan alam sekitar sambil memaksimumkan penggunaan sumber semula jadi yang berkesan dengan mencari penyelesaian seimbang dengan kemajuan dan pengawasan planet.

    “Dunia kita menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya, daripada perubahan iklim kepada kehabisan sumber, dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mencari penyelesaian yang mampan.

    “Inovasi hijau membentangkan strategi yang mengurangkan kemudaratan, kemerosotan persekitaran dan impak serta pada masa yang sama mengoptimumkan penggunaan sumber asli,” jelasnya.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah bergambar ramai semasa majlis di The Empire Brunei, Jerudong, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan melawat salah satu tapak pameran. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Menurutnya, kerajaan di seluruh dunia komited untuk melestarikan strategi berkenaan, akan tetapi komitmen tersebut memerlukan usaha kolektif daripada semua sektor masyarakat dan ekonomi. Perusahaan, terutamanya dalam teknologi permulaan juga memainkan peranan penting dalam menangani kelestarian.

    Yang Berhormat Datin mengetengahkan mengenai Wawasan Brunei Darussalam 2035, dengan penekanan kepada pembangunan mampan dan pemuliharaan alam sekitar sebagai tonggak utama untuk kemajuan negara.

    Oleh itu, inovasi hijau memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi berkenaan dan CIPTA telah menjadi platform utama untuk bakat yang berwawasan di dalam negara dan negara-negara ahli ASEAN yang mengambil bahagian bagi mempamerkan inovasi dan ciptaan mereka.

    Dianjurkan bersama oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Brunei LNG Sdn Bhd, CIPTA bersedia untuk memacu kerjasama dalam kalangan institusi akademik dan industri yang menyokong matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dalam ucapannya berkata, tema kali ini bertepatan dengan visi dan kemajuan UTB ke arah menjadi institusi penyelidikan inovasi yang mampan.

    Tema itu juga menggariskan keperluan untuk memanfaatkan kepintaran manusia dan kecekapan teknologi bagi memerangi perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan ancaman alam sekitar yang lain.

    Ia mewakili anjakan paradigma ke arah pembangunan mampan, di mana inovasi memacu pertumbuhan ekonomi dan memupuk kesejahteraan alam sekitar dan sosial.

    “Sebagai ahli komuniti global, kami sedang bersedia untuk berusaha ke arah mencapai masa depan yang mampan,” tambahnya.

    Menurut kenyataan yang diberikan, Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 kini memasuki tahun ke-20 yang menandakan peristiwa penting dalam memupuk kreativiti, ciptaan dan inovasi di Brunei Darussalam dan rantau ASEAN.

    Sepanjang 20 tahun yang lalu, CIPTA telah memberikan inspirasi kepada banyak inovator dan telah menjadi mercu tanda kecemerlangan dalam kemajuan teknologi.

    Buat pertama kalinya tahun ini, CIPTA akan menawarkan pingat anugerah emas, perak dan gangsa yang akan diberikan kepada ciptaan yang mengambil bahagian.

    Pingat berkenaan akan memberikan penghormatan kepada peserta dengan mata terbanyak dan produk paling inovatif.

    Dengan pelancaran anugerah berkenaan, semua dokumen berkaitan boleh diperoleh daripada laman sesawang cipta.utb.edu.bn di mana pendaftaran dibuka bermula hari ini hingga 27 Januari 2025.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Peguam Negara, Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga), Awang Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah; Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib; Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Pemangku Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim; Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG Sdn Bhd dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Eksekutif CIPTA 2025, Awang Adeleye Falade.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...