BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Pihak Berkuasa Hiburan Umum (GEA), Arab Saudi telah mengumumkan lanjutan tarikh pendaftaran bagi Anugerah Global Quran dan Azan sehingga 18 Ogos berbanding 22 Julai, bagi membolehkan lebih ramai orang mengambil bahagian.
Lanjutan tarikh pendaftaran berkenaan diumumkan oleh GEA dalam kenyataannya yang dikeluarkan melalui Kedutaan Besar Arab Saudi di Brunei Darussalam.
Kenyataan turut menyatakan bahawa pertandingan yang diasaskan oleh Pengerusi GEA, Turki bin Abdulmohsen Al-Sheikh pada awal 2019 itu menerima sambutan yang sangat menggalakkan apabila jumlah peserta mencecah 30,000 setakat 23 Julai.
Pemenang tempat pertama pertandingan membaca Al-Quran berkenaan akan menerima 5 juta riyal manakala itu, pemenang pertama pertandingan azan pula akan menerima 2 juta riyal.
Bagi maklumat lanjut mengenai terma penyertaan dan pendaftaran, orang ramai boleh-lah melayari laman sesawang https://quranathanawards.com.
GEA ditubuhkan untuk menguruskan, membangunkan dan memimpin sektor hiburan untuk menyediakan pilihan hiburan yang menarik dan pengalaman yang direka untuk memenuhi keperluan semua orang dari pelbagai latar belakang di Arab Saudi.
Selain itu juga untuk merangsang peranan sektor swasta dalam membangunkan dan mengembangkan aktiviti-aktiviti hiburan.
Kenyataan menambah, GEA menyumbang kepada ekonomi Saudi dengan terlibat dalam pempelbagaian sumber-sumbernya, meningkatkan keluaran dalam negeri kasar, menyokong perusahaan kecil dan sederhana serta meningkatkan perkadaran pelaburan langsung asing dalam sektor hiburan.