Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendaftaran Baiduri Masters kini dibuka

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Pukulan hole-in-one merupakan satu pukulan yang tidak tercapai oleh kebanyakan pemain golf sepanjang hayat mereka, tetapi Baiduri Masters telah menyaksikan lima kisah kejayaan yang berlainan.

    Berdasarkan Daftar Hole-in-One Kebangsaan, iaitu laman sesawang rasmi seluruh dunia yang merekodkan pencapaian berkenaan, kemungkinan rata-rata pemain golf mencatatkan ace ialah 12,500 berbanding satu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri di sini, Elyas Abdullah merupakan pemain golf pertama yang memperoleh hole-in-one pada Baiduri Masters dan membawa pulang sebuah BMW 730Li pada 2008.

    Kejayaan itu dicatatkan tiga kali pada 2015, dengan Awang Ahmad Izzat bin Dato Seri Setia Haji Mohd Zaimi dan Ahanapiah Haji Mohd Noor berbahagi sebuah Porsche Panamera sementara Kahar Haji Abu Bakar memperoleh wang tunai $20,000.

    Pemain terakhir yang merekodkan pukulan hole-in-one di Baiduri Masters ialah Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar pada 2017 apabila berjaya mencatatkan pukulan terus ke dalam lubang 12 dan membawa pulang wang tunai $20,000.

    Pada Baiduri Masters edisi kali ini, terdapat empat peluang bagi pemain-pemain golf untuk merekodkan mercu tanda sekali sepanjang hayat dan membawa pulang hadiah-hadiah menarik iaitu BMW iX3 bagi lubang 16, MINI Cooper 3-Door Brick Lane Edition bagi lubang 9 serta wang tunai $20,000 bagi lubang 7 dan 13.

    Pendaftaran bagi Baiduri Masters kini dibuka dan pemain-pemain yang berminat boleh mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan tahun ini dengan menghantar borang dan membuat pembayaran penuh di kaunter pendaftaran di Kelab Golf Pantai Mentiri.

    YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau semasa menyampaikan hadiah kepada pemenang hole-in-one pada tahun 2015. – Gambar serahan Bank Baiduri
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda