Pendaftaran bengkel BSOM bersama Shell LiveWIRE Brunei

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Sebagai hasrat bagi menumpukan sokongan kepada para usahawan dalam mengembangkan pengetahuan, jaringan dan kerjasama sehingga mencapai hasil yang memberangsangkan, Shell LiveWIRE Brunei telah membukakan sesi pendaftaran bengkel Become A Successful Owner Manager (BSOM) kepada orang ramai yang berminat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, menyatakan bahawa bengkel yang bakal diadakan selama tiga hari itu bermula dari 27 September hingga 29 September, merangkumi empat bidang utama iaitu keusahawanan, kewangan, inovasi dan peluang dan penjenamaan dan pemasaran produk.

Bengkel tersebut dikhususkan bagi para peserta yang berkeinginan untuk memajukan diri dengan lebih baik lagi sekali gus mampu mencetus idea-idea bernas dalam meniti bidang perniagaan yang sebenar yang mana sememangnya menjadi salah satu inisiatif pihak Shell LiveWIRE Brunei demi menyokong usaha negara secara berterusan dalam mempelbagaikan ekonomi.

Di samping itu, bengkel tersebut juga dihasrat untuk mendorong penyertaan aktif golongan usahawan tanah air demi sama-sama berjuang meningkatkan perkembangan PKS.

Melalui bengkel itu, penceramah dari pelbagai industri akan dijemput untuk berkongsi pandangan untuk meluaskan pengetahuan keusahawanan.

Sehubungan dengan itu, pendaftaran bagi bengkel berkenaan telah dibuka sejak 8 September lalu hingga 25 September 2021 ini. Bagi mengetahui maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang livewirebrunei.com/bsom atau menghantar emel ke enquire@livewirebrunei.com.

Shell LiveWIRE Brunei adalah kemegahan pelaburan sosial Syarikat minyak Brunei Shell Sdn Bhd yang bertujuan untuk membangun dan membimbing usahawan semasa dan masa depan.

Shell LiveWIRE Brunei akan membukakan sesi pendaftaran bagi bengkel Become A Successful Owner Manager kepada orang ramai. – Gambar fail serahan Shell LiveWIRE Brunei