Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) memaklumkan bahawa pendaftaran haji akan bermula pada 22 Oktober ini hingga 21 Januari 2021.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk mendaftar bolehlah mendapatkan borang pendaftaran haji pada harga $2 di pusat-pusat pendaftaran seperti di Ruang Legar, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan KHEU, Jalan Dewan Majlis atau Pejabat Hal Ehwal Ugama di Daerah Belait, Tutong dan Temburong.
KHEU dalam kenyataan turut memaklumkan bahawa pemohon-pemohon yang mendaftar untuk menunaikan haji bagi tahun 1442 Hijrah diletakkan dalam senarai menunggu.
Orang ramai yang hadir untuk mendapatkan borang pendaftaran dan seterusnya mendaftar haji diingatkan supaya dapat mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan iaitu dengan mendaftar masuk menggunakan aplikasi BruHealth dan mengimbas kod
QR sebelum masuk ke pusat-pusat pendaftaran, mengamalkan penjara-kan sosial dan memakai penutup mulut dan hidung.
Selain itu, pastikan kesihatan baik dan tidak digalakkan hadir jika berada dalam keadaan kurang sihat serta sentiasa menjaga kebersihan dengan mencuci tangan atau menggunakan gel pensanitasi tangan.