Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Pendaftaran bagi mendapatkan keputusan Peperiksaan Pemilihan Calon ke Sekolah Arab (PCKSA) tahun 1446H/2025M melalui perkhidmatan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) akan mula dibukakan pada Isnin, 27 Oktober 2025 bermula pukul 10 pagi.
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB) memaklumkan bahawa perkhidmatan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST), Progresif Sdn. Bhd., Imagine Sdn. Bhd. dan Mach Telecommunications Systems Sdn. Bhd. (MachTel).
Calon-calon peperiksaan, ibu bapa atau penjaga yang ingin melanggan perkhidmatan ini dikehendaki mendaftar terlebih dahulu melalui perkhidmatan SMS.

Pendaftaran adalah percuma dan boleh dibuat dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) NOMBOR PUSAT PEPERIKSAAN (jarak) NOMBOR INDEKS CALON dan menghantarnya ke 8885555 bagi pelanggan DST, 38666 bagi pelanggan Progresif, atau 39966 bagi pelanggan Imagine.
Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan melalui SMS tanpa sebarang kos, dan keputusan peperiksaan hanya akan dihantar kepada pelanggan yang telah berdaftar setelah keputusan rasmi dikeluarkan, dengan caj $1.00 bagi setiap keputusan yang diterima.
Sehubungan itu, pelanggan disarankan memastikan talian mudah alih masing-masing mempunyai kredit yang mencukupi.
Perkhidmatan ini diharap dapat memudahkan calon, ibu bapa atau penjaga mengetahui keputusan peperiksaan PCKSA tahun 1446H/2025M dengan lebih cepat dan tepat.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai kaedah pendaftaran serta terma dan syarat perkhidmatan, orang ramai boleh menghubungi Mach Telecommunications Systems Sdn. Bhd. melalui talian 8671355 atau e-mel kheuresults@machbrunei.com.

