Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Progresif Sdn Bhd dan Mach Telecommunications Systems Sdn Bhd (MachTel) akan mula membukakan langganan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) bagi mendapatkan Keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat ‘AS’ dan ‘A’ sesi Oktober/November 2022 bermula esok (20 Januari).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, hari ini, ibu bapa atau penjaga dan pelajar yang ingin melanggan perkhidmatan ini boleh membuat pendaftaran melalui SMS dengan memasukkan teks berikut; MOE<jarak>REG<jarak>[KOD PUSAT]<jarak>[NOMBOR CALON]<jarak>[NOMBOR I.C. CALON] dan dihantar ke 8885555 bagi pelanggan DST dan 38666 bagi pelanggan Progresif Sdn Bhd. Tiada bayaran akan dikenakan sewaktu pendaftaran melalui telefon bimbit tersebut. Sehubungan itu, keputusan peperiksaan hanya akan dihantar kepada pelanggan melalui SMS setelah mendapat kelulusan daripada Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan untuk mengeluarkan keputusan tersebut.


