BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Usuluddin dengan kerjasama Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat telah membukakan pendaftaran bagi Kursus Intensif Ilmu Hadis Siri Pertama. Pendaftaran adalah dibukakan bagi pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan atau bukan kerajaan, para belia dan orang ramai yang berminat.
Tujuan kursus tersebut diadakan adalah khusus untuk memberikan kefahaman kepada orang ramai mengenai ilmu Takhrij Al-Hadith dan kepentingannya, kefahaman dalam menggunakan cara-cara teknik khusus untuk mengeluarkan hadis melalui sumbernya yang asli serta memahami penggunaan sumber-sumber rujukan dan metodologi penulisannya.
Menurut kenyataan UNISSA, kursus itu juga memfokuskan kepada kaedah mengeluarkan hadis berdasarkan perkataan-perkataan ganjil (gharib) atau lafaz penting yang terdapat dalam matan hadis.
Bengkel tersebut akan diadakan pada 12 Jun bermula 8 pagi hingga 4:30 petang dan pendaftaran bolehlah dibuat melalui pautan https://bit.ly/KIIH_2021 dengan tarikh akhir pendaftaran adalah pada 22 Mei, jam 4:30 petang.
Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut mengenai program tersebut, orang ramai bolehlah layari laman sesawang UNISSA.