BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bakal menganjurkan larian ria Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 pada 12 Mac, di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.
Orang ramai boleh mendaftar untuk acara larian ria tersebut di Jabatan Belia dan Sukan, Tingkat 6, Bahagian Sukan, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.
Semua peserta yang berdaftar akan menerima baju T peringatan Larian Ria Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 secara percuma yang boleh dikutip pada Sabtu, 11 Mac di Jabatan Belia dan Sukan. Manakala, sijil Larian Ria berkenaan pula akan diberikan di garisan penamat pada hari pertandingan, 12 Mac ini.
Acara larian ria tersebut adalah dibukakan kepada orang ramai di Brunei Darussalam, dan dibahagikan kepada lima kategori. Antaranya, Kategori Terbuka Lelaki dan Kategori Terbuka Perempuan bagi larian jarak 3.4km, dan Kategori Kanak-kanak Lelaki di bawah umur 12 tahun, Kategori Kanak-kanak Perempuan di bawah umur 12 tahun dan Kategori Orang Kelainan Upaya bagi larian jarak 2km.
Manakala, tarikh dan masa pendaftaran adalah dijadualkan pada 4 hingga 9 Mac dari jam 8 pagi hingga 11:30 pagi dan di sebelah petang dari jam 2 petang hingga 4 petang.