Oleh Daniel Lim
BELAIT, 30 MEI – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 tahun, Persatuan Bola Keranjang Daerah Belait (BDBA) akan mengadakan Kejohanan Terbuka Piala Cabaran Bola Keranjang Aewon yang dijadual berlangsung pada 24 Julai nanti.
Pertandingan diadakan setelah penarikan semula sekatan Fasa Awal Endemik pada 31 Mei ini.
BDBA dalam pada itu juga sedang mencari pasukan yang berminat untuk menyertai pertandingan tersebut, dengan tarikh akhir pendaftaran akan ditutup pada 10 Julai jam 4 petang.
Yuran pendaftaran juga dikenakan bagi setiap pasukan yang menyertai pertandingan. Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh diperoleh dengan menghubungi pihak penganjur.
BDBA juga berharap dengan adanya Kejohanan Terbuka Piala Cabaran Bola Keranjang Aewon itu nanti akan dapat menarik peminat sukan berkenaan di samping mengembangkan dan meningkat-kan lagi kemahiran serta kebolehan pemain di Daerah Belait.
Selain itu, BDBA turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah Urusan Aewon Brunei, Lau Chai Seng atas sokongan berterusan beliau dalam menaja pertandingan yang diadakan selama ini.