BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) mengumumkan pembukaan pendaftaran untuk World Maritime Day 2024 Scavenger Hunt.
Menurut kenyataan MPABD, acara menarik berkenaan itu mengundang pasukan-pasukan untuk meneroka nadi Bandar Seri Begawan (BSB) dalam meraikan warisan maritim Brunei.
Pendaftaran kini dibuka dan akan berlangsung sehingga 21 November.
MPABD menggalakkan peserta yang berminat untuk mendaftar lebih awal kerana acara berkenaan terhad kepada 60 pasukan, setiap kumpulan terdiri daripada lima pemain.
Terbuka kepada umum, pertandingan itu menjanjikan hari yang penuh dengan penemuan, keseronokan dan persaingan mesra dengan petunjuk dan tugasan yang diinspirasikan oleh kekayaan sejarah maritim Brunei serta komitmen MPABD terhadap pemuliharaan lautan.
Pertandingan yang diadakan pada 24 November ini akan menguji semangat kerja berpasukan, kemahiran menyelesaikan masalah, serta pengetahuan peserta tentang budaya maritim Brunei sambil bekerjasama untuk menyelesaikan cabaran di sekitar Bandar Seri Begawan.
Hadiah utama untuk pasukan pemenang adalah wang tunai berjumlah $2,500, berserta pingat dan barangan eksklusif MPABD untuk memperingati pencapaian mereka.
Pasukan yang menamatkan di tempat kedua dan ketiga, masing-masing akan memenangi $1,500 dan $1,000, serta pingat dan barangan MPABD.
Selain itu, pasukan yang mendapat tempat keempat hingga ke-10, masing-masing akan menerima $250 dan barangan eksklusif MPABD.
Pasukan yang berminat untuk menyertai boleh mendaftar secara dalam talian di https://bit.lyMPABDWMD2024SCAVENGERHUNT atau dengan melayari laman Instagram rasmi MPABD.