Oleh Salawati Haji Yahya –
TEMBURONG, 10 OKT – Penduduk yang bermastautin di Mukim Labu, Mukim Batu Apoi dan Mukim Bangar khusus bagi yang berumur 18 tahun ke atas dialu-alukan untuk membuang undi bagi pemilihan calon Penghulu Mukim Zon 1, Daerah Temburong.
Pendaftaran bagi pengundian tersebut telah dibukakan dan ia boleh diakses melalui Aplikasi E-Undi PMKK atau pendaftaran pengundian secara konvensional iaitu dengan mengisikan borang daftar pengundi yang boleh didapati melalui ketua-ketua kampung masing-masing atau mendaftar semasa hari majlis pengundian yang akan diadakan 15 Oktober depan.
Perkara berkenaan telah dikongsikan oleh Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim semasa sidang media bagi membarigakan Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Zon 1, hari ini.
Beliau seterusnya menjelaskan, bagi memudahkan semua golongan masyarakat yang berkelayakan untuk mengundi, tiga kaedah pengundian telah disediakan iaitu menggunakan aplikasi E-Undi PMKK, undian secara dalam talian yang akan dibuka selama tiga hari bermula 13 Oktober.
Kaedah kedua adalah luar talian di mana para pengundi akan mengundi semasa majlis pengundian dengan menggunakan tablet yang akan disediakan, sementara itu, kaedah ketiga adalah menggunakan kertas undian semasa majlis pengundian.
Bagi memudahkan pengundi, Jabatan Daerah Temburong (JDT) telah menyediakan tiga tempat pengundian iaitu di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar bermula pukul 8 pagi hingga 4 Petang.
Manakala itu, bagi penduduk Kampung Selapon, tempat pengundian adalah di Balai Raya Kampung Selapon dan bagi penduduk Mukim Labu di Balai Raya Kampung Senukoh dari pukul 8 pagi hingga 10 pagi sahaja.


