Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Kementerian Kesihatan akan membukakan pendaftaran bagi penuntut-penuntut tempatan (warganegara Brunei Darussalam) dan penuntut warga asing yang akan melanjutkan pengajian ke luar negara untuk mengikuti Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, Kementerian Kesihatan menyatakan semua penuntut yang akan melanjutkan pengajian ke luar negara hendaklah terlebih dahulu membuat dan mengemas kini pendaftaran dengan melayari laman web www.moe.gov.bn atau pautan https://bit.ly/3qsLcdD.
Kenyataan menjelaskan, vaksin COVID-19 akan diberikan mengikut keutamaan tertakluk kepada tarikh-tarikh dijangka akan meninggalkan Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu, vaksin hanya akan diberikan kepada penuntut yang akan ke luar negara dalam tempoh sebulan akan datang. Ianya adalah untuk memastikan mereka menerima dua dos vaksin bagi mendapatkan perlindungan terbaik.
Syarat lain adalah, mereka hendaklah berumur 18 tahun ke atas dan hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai akaun Bru-HIMS.
Bagi mereka yang belum membuat pendaftaran akaun Bru-HIMS boleh membuat pendaftaran di klinik atau hospital kerajaan terdahulu sebelum membuat perjanjian atau datang ke pusat vaksinasi yang telah pun dikhususkan untuk memudahkan proses pemberian vaksin.
Pemberian vaksin tertakluk kepada pusat-pusat vaksinasi yang telah dikenal pasti. Mereka akan menerima pesanan ringkas (SMS) bagi tarikh, jam dan lokasi pusat vaksinasi yang dikenal pasti. Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan melalui talian 2380019.