Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendaki AS meninggal dunia di Everest

    KATHMANDU, 2 MEI – Seorang pendaki gunung Amerika Syarikat (AS) telah meninggal dunia di Gunung Everest, menjadikannya kematian keempat di puncak tertinggi dunia musim pendakian ini.

    Jonathan Sugarman, 69, berada di kedudukan altitud tinggi sekitar 6,400 meter apabila dia meninggal dunia kelmarin, kata penganjur ekspedisinya.

    “Dia berasa tidak sihat dan meninggal dunia di Kem 2. Usaha sedang dijalankan untuk membawa kembali mayatnya,” kata Pasang Tshering Sherpa dari Beyul Adventure kepada AFP.

    “Kami cuba menghantar helikopter tetapi salji turun dan cuaca tidak mengizinkan,” katanya.

    Beyul Adventure ialah rakan kongsi tempatan penganjur ekspedisi International Mountain Guides yang berpangkalan di AS, yang mengesahkan kematian Sugarman.

    Gambar fail pada 7 Mac menunjukkan puncak Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia pada 8,848 meter, dalam banjaran Himalaya Nepal . – AFP

    “Kami boleh mengesahkan bahawa kejadian ini bukan akibat kemalangan pendakian atau keadaan laluan yang berpotensi memberi impak atau kebimbangan keselamatan kepada mana-mana pasukan lain di gunung itu,” kata ketua IMG, Eric Simonson dalam satu kenyataan di laman web syarikat itu.

    Tahun lepas, Sugarman sampai ke Kem 3 di Everest sebelum meninggalkan pendakian.

    Musim pendakian musim bunga tahun ini di Everest mempunyai permulaan yang tragis bulan lalu dengan kematian tiga pendaki Nepal.

    Ketiga-tiga mereka sedang menyeberangi air terjun Khumbu yang berbahaya sebagai sebahagian daripada misi bekalan apabila bongkah ais glasier jatuh dan menghanyutkannya ke dalam celah yang dalam.

    Pemandu Nepal, biasanya berasal etnik Sherpa dari lembah berdekatan, amat penting untuk industri berjuta-juta dolar, menanggung risiko besar untuk menyediakan laluan pendakian dan membawa makanan dan peralatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda