Pendaki berjaya diselamatkan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Anggota bomba dan penyelamat telah berjaya membawa turun seorang lelaki berbangsa Cina yang mendaki Bukit Sarang Helang, Taman Rekreasi Tasek Lama di ibu negara, baru-baru ini.

Mangsa berusia 50 tahun berkenaan dibawa turun pada pukul 5:48 petang dan diserahkan kepada pihak paramedik untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), enam orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh SO Haji Ali dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan telah dikerahkan ke tempat insiden sebaik menerima panggilan.

Sehubungan itu, JBP mengingatkan orang ramai khususnya penggemar mendaki bukit supaya mengambil maklum mengenai keadaan cuaca semasa dan tidak digalakkan untuk mendaki bukit atau membuat mana-mana aktiviti riadah jika kurang sihat.

Di samping itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat pendakian secara berseorangan kerana ditakuti perkara yang tidak diingini berlaku dan sebelum membuat pendakian hendaklah memaklumkan kepada keluarga atau kawan-kawan tempat hendak dituju selain disarankan membawa bersama wisel, lampu, telefon bimbit dan air bagi keperluan jika berlaku kecemasan.

Jika berlaku sebarang kecemasan, orang ramai boleh menghubungi terus talian kecemasan 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.