ISLAMABAD, 7 SEPT – Seorang pendaki gunung Alp dari Rusia yang pernah memenangi anugerah dikhuatiri maut selepas terjatuh dari salah satu gunung tertinggi di dunia di Pakistan, kata pegawai hari ini.
Dmitry Golovchenko ‘mengalami kemungkinan kejatuhan yang membawa maut’ dari gunung tertinggi ke-17 di dunia, Gasherbrum IV setinggi 7,925 meter pada minggu lalu, kata Kelab Alpine Pakistan (ACP).
Rakannya, Sergey Nilov mengalami kecederaan tetapi berjaya kembali ke kem pangkalan puncak tersebut di sempadan timur laut Pakistan dengan China dan diterbangkan dengan helikopter kelmarin, menurut ACP dalam satu kenyataan.
Kedua-duanya telah ‘mencuba laluan yang sukar’, kata kenyataan itu.
Setiausaha ACP, Karrar Haidri memberitahu AFP bahawa kejadian tersebut telah dilaporkan oleh isteri Golovchenko, yang berhubungan dengan beliau semasa pendakian, dan beliau mengesyaki pendaki gunung berpengalaman itu telah jatuh ke dalam celahan.
Pihak berkuasa merancang untuk melancarkan usaha pencarian esok, katanya.
Kedutaan Kremlin di Islamabad mengesahkan pendaki gunung Rusia ‘menghadapi masalah tertentu’ di Gasherbrum IV dan berkata ia ‘berhubung secara langsung dengan keluarga mereka’ dalam satu kenyataan kepada AFP.
Golovchenko dan Nilov memenangi anugerah berprestij Piolets d’or yang digambarkan sebagai ‘Anugerah Oscar gunung’ pada tahun 2013 untuk pendakian mereka di Menara Muztagh setinggi kira-kira 7,300 meter di Pakistan.
Kedua-dua pendaki tersebut memenangi anugerah buat kali kedua pada tahun 2017 untuk pendakian mencabar Thalay Sagar di India melalui gunung ais dan batu yang belum pernah diterokai. – AFP
