KATHMANDU, 18 MEI – Seorang pemandu gunung dari Britain berjaya menawan puncak Gunung Everest buat kali ke-19 hari ini, sekali gus memecahkan rekodnya sendiri sebagai pendaki bukan Sherpa yang paling banyak mendaki gunung tertinggi dunia itu.
Kenton Cool, 51, dari barat daya England, menakluki puncak setinggi 8,849 meter itu bersama beberapa pendaki lain dan dilaporkan berada dalam keadaan baik serta sedang dalam perjalanan turun dari puncak, menurut Iswari Paudel daripada Himalayan Guides Nepal, syarikat yang menguruskan ekspedisinya.
Cool pertama kali mendaki Everest pada tahun 2004 dan hampir setiap tahun selepas itu beliau kembali mendaki puncak berkenaan.
Namun beliau tidak dapat mendaki pada tahun 2014 apabila musim pendakian dibatalkan susulan kejadian runtuhan salji yang mengorbankan 16 pemandu Sherpa, serta pada tahun 2015 apabila gempa bumi mencetuskan satu lagi runtuhan salji yang meragut 19 nyawa. Musim pendakian tahun 2020 pula dibatalkan akibat pandemik COVID-19.
Ratusan pendaki dan pemandu kini berada di Gunung Everest sempena musim pendakian musim bunga yang popular, dengan harapan menawan puncak tertinggi dunia itu.
Ramai daripada mereka telah berjaya mendaki, manakala yang lain dijangka mencuba sebelum musim pendakian berakhir hujung bulan ini, apabila keadaan cuaca merosot disebabkan ketibaan musim monsun yang menjadikan pendakian lebih mencabar.
Setakat ini, hanya pemandu Sherpa Nepal yang berjaya menawan puncak lebih banyak kali daripada Cool. – AFP
