Sunday, April 27, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendaki buta takluk puncak tertinggi di dunia

    CHONGQING – Walaupun kehilangan penglihatan sepenuhnya pada usia 21 tahun, Zhang Hong pada 2021 mendaki Gunung Qomolangma (Everest) untuk menjadi pendaki buta pertama di Asia yang menakluki puncak tertinggi di dunia.

    Zhang, yang dilahirkan di Bandar Chongqing, barat daya China, berkata daya tarikan Gunung Everest telah mengeluarkan dirinya daripada rasa ragu-ragu yang telah lama menghantuinya.

    Kebutaan Zhang, yang disebabkan oleh glaukoma, merupakan penyakit keturunan.

    “Kehinaan yang dibawa oleh keluarga saya adalah seperti parut di hati saya. Selepas kehilangan penglihatan, sebilah pisau tajam seakan dipotong ke dalam parut itu, membelah hati saya, menjadikannya busuk dan berdarah,” tulis beliau dalam autobiografinya.

    “Dengan kemarahan ini, saya sentiasa mahu melakukan sesuatu untuk membuktikan bahawa lelaki buta tidak kurang daripada lelaki biasa,” kata Zhang. Seperti kebanyakan orang lain yang mengalami masalah penglihatan di China, Zhang pernah mencari rezeki sebagai tukang urut. Tetapi beliau tidak berpuas hati dan bercadang untuk mencabar label tersebut dengan membuktikan bahawa orang kurang upaya penglihatan boleh mengejar kerjaya lain, sama seperti mana-mana individu yang lain.

    Pelancong melawat Taman Negara Gunung Qomolangma di Wilayah Autonomi Tibet, barat daya China pada 27 Oktober lalu. – Xinhua
    Foto bertarikh 18 April 2021 menunjukkan Zhang mendaki Gunung Lobuche di Nepal. – Xinhua
    Setiap hari, beliau menaiki lebih 200 anak tangga sambil membawa beban seberat 30 kilogram di Lhasa, wilayah autonomi Xizang di barat daya China. – Freepik
    Zhang pernah bekerja sebagai tukang urut, namun beliau tidak berpuas hati dan mahu membuktikan bahawa orang kurang upaya penglihatan juga boleh mengejar kerjaya lain. – Freepik

    Setelah dirujuk oleh rakan, Zhang menjadi seorang pegawai perubatan di hospital pada 2011. Namun, matlamatnya lebih tinggi.

    Dan apabila seorang pendaki terkenal membangkitkan topik Gunung Everest semasa perbualan santai dengan Zhang pada 2015, beliau mula menyedari bahawa matlamatnya adalah lebih tinggi secara tersurat dan tersirat. Beliau pernah mendengar tentang pendaki Amerika Syarikat, Eric Weihenmayer, yang menakluki Gunung Everest pada 2001 dan juga merupakan seorang yang buta.

    Beliau mula menaiki lebih 200 anak tangga dari pukul 4 pagi hingga 7 pagi setiap hari, membawa beban seberat 30 kilogram pada ketinggian lebih 3,000 meter di Lhasa, wilayah autonomi Xizang di barat daya China.

    “Tangga itu kelihatan lebih sukar daripada Gunung Everest bagi saya,” kata Zhang.

    Walaupun beliau meragui keupayaannya pada masa itu, dan walaupun beliau tahu dirinya tidak akan mampu untuk membayar yuran bagi mendaki puncak tersebut, beliau terus bersedia untuk peluang yang akan datang.

    Empat tahun kemudian, Zhang telah mendaki tiga gunung yang dilitupi salji. Gunung ketiganya, Gunung Muztagata, sering menjadi puncak yang pendaki lalui sebelum cuba mendaki Gunung Everest. Setelah kembali ke tanah rata selepas mendaki Gunung Muztagata, fikirannya hanya tertumpu semata-mata pada hakikat bahawa beliau kini selangkah lebih dekat kepada matlamat utamanya.

    Pada Mei 2021, Zhang pergi ke kem pangkalan Gunung Everest. Keadaan cuaca tidak mengizinkan, tetapi beliau tetap tidak gentar. “Ia menunjukkan kepada saya bahawa alam semula jadi melayan semua orang secara sama rata. Ia tidak melayan saya secara berbeza kerana saya buta.”

    Pada 19 Mei 2021, Zhang dan pasukannya memulakan pendakian mereka. Beliau hanya memberikan tumpuan kepada hubungan nalurinya dengan gunung tersebut.

    Dengan setiap langkah di atas tanah yang sejuk, beliau berterima kasih kepada gunung kerana menerima kedatangannya, katanya. Apabila angin bertiup, beliau menganggapnya sebagai respons dari gunung. Beliau mendapati bahawa beliau dapat membayangkan bintang-bintang bersinar di atas kepalanya dan berkata bahawa ia merasakan seolah-olah bintang-bintang tersebut memberinya galakan.

    Walaupun pemikirannya menggalakkan, Zhang juga menghadapi bahaya seperti vertigo seketika, kebocoran oksigen dan pemandunya pada satu ketika terjatuh ke dalam jurang ais.

    Zhang mencapai puncak pada 24 Mei 2021, menjadi orang buta ketiga di dunia yang melengkapkan pencapaian itu, mengikut jejak Weihenmayer dan seorang pendaki lain dari Austria.

    Tetapi setelah merealisasikan impiannya, apa yang beliau fikirkan hanyalah untuk turun semula secepat mungkin.

    Beliau berkata bahawa seluruh kehidupannya terlintas di fikirannya pada jam terakhir penurunannya ke kem pangkalan. Beliau berasa sangat lega, seolah-olah semua kemarahannya dan penilaian orang lain yang terbuku dalam dirinya telah melebur di atas gunung tersebut. Menurutnya, beliau menangis apabila tiba di kem pangkalan pada 27 Mei 2021.

    “Sebelum ini, saya fikir hidup ini tidak adil. Sekarang saya fikir mungkin kehidupan memberi saya misi untuk membuktikan bahawa orang buta juga boleh mencapai apa sahaja dan memberi nilai kepada orang lain,” katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda