Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendaki Gunung Fuji bakal dikenakan bayaran lebih tinggi

    SHIZUOKA, 17 MAC – Pendaki yang menggunakan empat laluan di Gunung Fuji akan dikenakan bayaran sebanyak 4,000 yen (AS$27) mulai musim panas ini selepas rancangan oleh kerajaan Wilayah Shizuoka diluluskan oleh dewan undangan tempatan pada Isnin, lapor Agensi Berita Kyodo.

    Langkah oleh Wilayah Shizuoka itu dibuat susulan keputusan Wilayah Yamanashi, yang menguruskan laluan paling popular, untuk menggandakan bayaran kepada 4,000 yen bagi pendaki gunung setinggi 3,776 meter itu mulai musim panas ini, berikutan kebimbangan mengenai kesesakan dan kesannya terhadap alam sekitar.

    Dewan undangan Wilayah Shizuoka turut meluluskan ordinan bagi menyekat akses ke tiga laluannya dari 2 petang hingga 3 pagi bagi mengelakkan aktiviti ‘pendakian peluru’ semalaman atau cubaan mendaki puncak gunung tertinggi Jepun itu tanpa berehat.

    Menurut Kyodo News, ordinan itu akan berkuat kuasa pada 9 Mei, sebelum musim pendakian bermula pada Julai.

    Shizuoka menguruskan denai Fujinomiya, Gotemba dan Subashiri, manakala Yamanashi menguruskan denai Yoshida.

    Akses ke denai selepas 2 petang hanya dibenarkan bagi pendaki yang telah membuat tempahan penginapan di pondok gunung. Kakitangan akan ditempatkan di stesen kelima laluan bagi mengesahkan pembayaran telah dibuat. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda