KOFU, 18 APRIL – Para pendaki yang merancang mendaki Gunung Fuji diwajibkan memakai peralatan mendaki yang sesuai, menurut kerajaan tempatan yang menguruskan laluan pendakian paling popular di gunung itu, lapor agensi berita Kyodo.
Sebagai sebahagian daripada proses tempahan dalam talian yang bermula kelmarin, pengunjung perlu bersetuju dengan syarat-syarat termasuk memakai pakaian tebal dan kasut yang sesuai, menurut Wilayah Yamanashi.
Mereka yang gagal mematuhi syarat itu mungkin dilarang menggunakan Laluan Yoshida.
Langkah itu diambil susulan peningkatan jumlah pelancong asing dan kebimbangan terhadap kesesakan, dengan ramai pendaki dilihat mengenakan pakaian tidak sesuai pada tahun lalu.
Kerajaan tempatan berusaha menangani isu itu sebelum musim pendakian bermula awal Julai nanti.
Pendaki gunung juga perlu mematuhi peraturan lain seperti tidak membuang sampah merata-rata dan tidak keluar dari laluan yang ditetapkan, menurut wilayah itu kelmarin.
Tempahan boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi dengan bayaran pendahuluan 4,000 yen (AS$28).
Sementara itu, Wilayah Shizuoka yang mengurus tiga laluan pendakian lain akan mewajibkan pendaki mempelajari peraturan dan etika melalui sistem pendaftarannya, yang bermula awal Mei.
Kerajaan tempatan itu juga akan mula mengenakan bayaran 4,000 yen mulai musim panas ini.
Gunung Fuji setinggi 3,776 meter yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2013, menarik ratusan ribu pendaki setiap tahun sepanjang musim pendakian sehingga September. – Bernama
