Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendaki India maut dalam percubaan menawan Gunung Everest

    KATHMANDU, 28 MEI – Seorang pendaki dari India yang diselamatkan dari Everest telah meninggal dunia di hospital, kata seorang pegawai pelancongan Nepal hari ini, membawa jumlah kematian musim ini di gunung tertinggi dunia kepada lapan orang.

    Banshi Lal, 46, telah diselamatkan dari gunung tersebut minggu lepas dan dibawa ke sebuah hospital di ibu negara Nepal, Kathmandu.

    “Dia meninggal dunia di hospital semalam,” kata Rakesh Gurung dari jabatan pelancongan kepada AFP.

    Tiga orang iaitu seorang pendaki British dan dua malim gunung antara lapan tersenarai hilang tetapi dianggap mati.

    Kematian terbaharu berlaku ketika musim pendakian Everest menghampiri penghujungnya, dengan jumlah kematian agak rendah berbanding tahun-tahun lalu.

    Gambar AFP

    Tahun lepas merupakan musim paling dahsyat di gunung itu dengan 18 kematian.

    Tiga yang lain maut ketika mendaki puncak yang lain di Nepal termasuk seorang warga Romania yang mendaki Lhotse, bersebelahan dengan Everest, serta seorang pendaki Perancis dan Nepal di Makalu, puncak kelima tertinggi.

    Nepal adalah ‘rumah’ bagi lapan daripada 10 puncak tertinggi di dunia dan mengalu-alukan ratusan pengembara setiap musim bunga, apabila suhu ketika itu panas, berangin dan tenang.

    Semua kematian di Everest berlaku di kawasan atas 8,000 meter, yang dikenali sebagai ‘zon kematian’, di mana udara nipis dan paras oksigen rendah meningkatkan risiko penyakit ketinggian.

    Nepal telah mengeluarkan lebih 900 permit tahun ini, termasuk 419 untuk Everest, menjana lebih daripada AS$5 juta dalam bentuk royalti.

    Lebih 600 pendaki dan malim gunung mereka sudah sampai ke puncak Everest selepas pasukan mengikat tali mencapai puncak itu pada bulan lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda