LYON, 26 OGOS – Seorang pendaki gunung Itali maut terkena bongkah ais yang jatuh berhampiran Mont Blanc di Pergunungan Alps Perancis, manakala rakannya berjaya diselamatkan, kata pegawai kelmarin.
Lelaki berusia 38 tahun itu mendaki Mont Blanc du Tacul, salah satu laluan ke puncak Mont Blanc, Ahad lalu apabila serac iaitu bongkah ais yang besar, pecah dan menghempap kedua-dua pendaki itu, beritahu seorang anggota polis gunung Chamonix kepada AFP.
Pasukan penyelamat menemui seorang daripada dua pendaki gunung dengan helikopter.
Dia berada dalam keadaan sihat tetapi terkejut dengan kemalangan itu, katanya.
Namun pasukan penyelamat tidak dapat menyelamatkan lelaki Itali itu.
Runtuhan serac kerap berlaku di laluan pendakian ke Mont Blanc dan tidak dapat diramalkan, menurut polis.
Mont Blanc, puncak tertinggi Eropah barat, terletak di sempadan tiga hala antara Perancis, Itali dan Switzerland, dan mempunyai ketinggian kira-kira 4,800 meter. – AFP









