Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendaki Jepun maut di gunung tertinggi Peru

    LIMA, 27 JUN – Seorang pendaki dari Jepun maut manakala seorang lagi berjaya diselamatkan semasa pendakian di gunung tertinggi Peru, menurut pihak berkuasa kelmarin.

    Chiaki Inada, 40, dan Saki Terada, 36, terperangkap pada Isnin akibat kabus tebal dan cuaca buruk di Gunung Huascaran yang berketinggian lebih 21,000 kaki.

    Mereka berjaya dikesan oleh pasukan penyelamat menerusi isyarat GPS yang dihantar melalui peranti yang mereka bawa, namun Inada dilaporkan telah meninggal dunia akibat hipotermia, kata pihak berkuasa.

    “Kami telah menyelamatkan warganegara Jepun yang masih hidup untuk diberi rawatan perubatan. Esok kami akan membawa turun mayat pendaki kedua,” kata Jeneral Antonio Loreno, ketua polis wilayah Ancash kepada saluran TV Peru.

    Pasangan tersebut tiba dari Jepun dua minggu lalu dan mendaki gunung tersebut tanpa pemandu arah.

    Dengan ketinggian melebihi 22,000 kaki, Gunung Huascaran yang terletak di banjaran Cordillera Blanca menarik pendaki dari seluruh dunia.

    Pada Ahad lalu, mayat tiga orang pendaki yang hilang lebih 20 hari di kawasan sama ditemui selepas mereka tertimbus dalam kejadian runtuhan salji, menurut pihak berkuasa.

    Manakala pada Julai tahun lalu, mayat pendaki dari Amerika Syarikat, William Stampfl, yang hilang dalam runtuhan salji semasa mendaki Gunung Huascaran pada tahun 2002, ditemui dalam keadaan mumia. – AFP

    Gunung Huascaran yang terletak di banjaran Cordillera Blanca menarik pendaki dari seluruh dunia. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda