ISLAMABAD, 30 Jan – Seorang pendaki warga Perancis telah pulang ke negara asalnya selepas berjaya diselamatkan setelah terkandas ekoran cuaca buruk yang melanda di puncak gunung di Himalaya, menurut seorang pegawai Pakistan hari ini.
Menurut seorang pegawai kanan dari Persekutuan Alpin Pakistan, Karar Haidri berkata Elisabeth Revol telah meninggalkan Islamabad sebelum subuh hari ini. Katanya lagi, dia telah bertemu dengan Revol dan memuji semua pihak yang berusaha menyelamatkannya.
Haidri berkata, Revol berasa sedih terhadap seorang pendaki Poland, Tomasz Mackiewicz yang diisytiharkan meninggal dunia selepas usaha menyelamat dilakukan.
Kedua-dua pendaki berkenaan terkandas ketika mendaki gunung Nanga Parbat di Pakistan, dengan ketinggian 8,126 meter menjadikannya sebagai puncak tertinggi yang kesembilan di dunia. Pihak berkuasa Pakistan telah memulakan operasi menyelamat Sabtu lalu, Revol telah diselamatkan dengan menggunakan helikopter dan dibawa ke Islamabad untuk mendapatkan rawatan di hospital sebelum kembali ke negaranya. – AP
