ALASKA, 2 JUN — Seorang pendaki Malaysia berkemungkinan meninggal dunia akibat pendedahan dan penyakit berkaitan ketinggian pada awal minggu ini setelah berlindung beberapa hari di dalam gua salji dengan peralatan survival yang minimum berhampiran puncak Denali, gunung tertinggi di Amerika Utara di Alaska , pegawai taman berkata kelmarin.
Zulkifli Bin Yusof, 36, berkemungkinan meninggal dunia Rabu dalam gua setinggi 19,600 kaki (5,974 meter) di Taman Negara dan Pemeliharaan Denali, kata jurucakap taman itu, Paul Ollig. Perkhidmatan Taman Negara menemui mayatnya pada malam Jumaat, kata Ollig.
Zulkfili adalah sebahagian daripada pasukan pendaki seramai tiga orang, yang kesemuanya dari Kelab Alpine Malaysia di Subang Jaya, Selangor, Malaysia, menurut Ollig. Dua lagi pendaki berjaya diselamatkan.
Renjer taman pertama kali menerima mesej SOS daripada pasukan itu pada jam 1 pagi Selasa, mengatakan pendaki mengalami hipotermia dan tidak dapat turun selepas mencapai puncak gunung Alaska setinggi 20,310 kaki (6,190 meter).
Seorang daripada mereka, berusia 48 tahun, telah diselamatkan pada malam Selasa selepas turun ke kem setinggi 17,200 kaki (5,243 meter). Dia digambarkan mengalami radang dingin yang teruk dan hipotermia.
Lewat Khamis, juruterbang helikopter altitud tinggi taman itu telah menjatuhkan beg dengan peralatan berhampiran gua salji dan melihat seorang pendaki melambai ke arahnya, tetapi angin kencang menghalang penyelamatan pada masa itu.
Seorang lagi pendaki, berusia 47 tahun, telah diselamatkan pagi Jumaat selepas beberapa hari keadaan mendung dan berangin. – AP
