KATHMANDU, 12 MEI – Seorang pendaki berusia 63 tahun dari Perancis maut ketika cuba menawan Kanchenjunga, gunung ketiga tertinggi di dunia, menurut penganjur ekspedisi hari ini.
Margareta Morin meninggal dunia di kawasan atas Kem 4 di Gunung Himalaya yang berketinggian 8,586 meter (28,169 kaki) pada Sabtu lalu.
“Dia meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan semasa dalam pendakian,” kata Yogendra Tamang daripada Peak 15 Adventure kepada AFP.
“Kami masih belum dapat membawa turun mayatnya kerana keadaan cuaca yang buruk.”
Kanchenjunga, gunung ketiga tertinggi selepas Gunung Everest dan K2, dianggap antara yang paling mencabar dari segi teknikal dalam kalangan puncak berketinggian melebihi 8,000 meter di dunia.
Ini merupakan kematian ketiga sepanjang musim pendakian musim bunga yang berlangsung dari April hingga awal Jun.
Minggu lalu, seorang pendaki dari Amerika Syarikat maut ketika cuba menawan Gunung Makalu, gunung kelima tertinggi di dunia.
Seorang pendaki dari Austria turut maut bulan lalu ketika menuruni Gunung Ama Dablam di Nepal yang berketinggian 6,812 meter.
Nepal menempatkan lapan daripada sepuluh puncak tertinggi di dunia dan menerima ratusan pendaki setiap tahun semasa musim pendakian musim bunga dan musim luruh.
Setakat ini, lebih 1,000 permit telah dikeluarkan untuk pendakian gunung pada musim ini, termasuk 75 permit bagi Kanchenjunga. – AFP
