KATHMANDU, 27 Feb – Seorang pendaki Sepanyol hari ini terpaksa melupakan hasratnya untuk mendaki Gunung Everest pada musim sejuk dalam 25 tahun ini selepas ‘cuaca maut’ memaksanya untuk mengundur diri.
Ia merupakan kali kedua sejak beberapa tahun pendaki gunung Alex Txikon, 36, terpaksa melupakan hasratnya untuk mendaki puncak tertinggi di dunia itu pada musim sejuk tanpa penggunaan tangki oksigen.
Pendakian musim sejuk yang terakhir adalah pada tahun 1993 oleh pasukan Jepun. Tetapi hanya seorang pendaki sebelum ini berjaya mencapai puncak pada musim sejuk tanpa menggunakan oksigen tambahan iaitu seorang pendaki Nepal pada bulan Disember 1987.
“Alex telah menamatkan ekspedisinya. Dia sampai ke Kem Empat tetapi cuaca tidak memihak kepadanya,” kata Mingma Sherpa dari Seven Summit Treks, yang menguruskan logistik Txikon kepada AFP.
Txikon dan pasukannya mencapai 7,950 meter (26,083 kaki) pada hujung minggu, kira-kira 900 meter di bawah pergunungan tersebut. Ramalan cuaca menunjukkan angin kencang akan mula reda pada awal Ahad, membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke puncak.

Tetapi angin sehingga 100 kilometer (62 batu) sejam memaksa pasukan itu, termasuk pendaki Pakistan yang berpengalaman, Muhammad Ali Sadpara, untuk kembali ke pangkalan.
“Kami kembali ke pangkalan dari C4 (Kem Empat). Angin yang sangat kuat dan cuaca yang berbahaya menjadikan perjalanan ini hampir mustahil untuk mencapai ke puncak,” kata Sadpara di Facebook.
Suhu berhampiran puncak Everest pada musim sejuk kerap jatuh menjunam di bawah minus 40 Celsius (-40 Fahrenheit), manakala angin kencang pula akan menjadikannya lebih sejuk.
Dalam keadaan tersebut, pendaki akan terdedah kepada pembekuan pada kulit dalam masa kurang dari lima minit, mendedahkan para pendaki risiko bagi menghadapi masalah radang.
Oksigen yang terhad di kawasan tinggi juga meningkatkan risiko radang. Txikon memanjat tanpa oksigen tambahan yang digunakan oleh kebanyakan pendaki untuk mengurangkan rasa bebanan yang ditanggung ketika mendaki gunung Everest. Lima Sherpa Nepal yang mendaki dengan warga Sepanyol menggunakan tangki oksigen.
Pada tahun 2016 Txikon dan Sadpara menjadi pendaki pertama di puncak Nanga Parbat Pakistan (8,125 meter) – dijuluki sebagai ‘Killer Mountain’ – pada musim sejuk, prestasi mereka dicapai tanpa menggunakan oksigen tambahan. – AFP