Thursday, May 8, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendakian penuh mencabar ke Everest Base Camp

    Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

     

    KUALA LUMPUR – “Teruja bercampur cemas! Begitulah perasaan saya tatkala menaiki pesawat Malindo Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Kathmandu pada 27 April lepas.

    “Kami bermalam di Kathmandu dan menggunakan kesempatan untuk membeli barang-barang yang diperlukan untuk ekspedisi ke Everest Base Camp (EBC).

    “Debaran semakin terasa apabila tiba masanya untuk menaiki pesawat kecil dari Kathmandu pada 29 April untuk ke Lukla, sebuah wilayah di Nepal. Lapangan terbang di Lukla ini adalah antara yang berbahaya di dunia untuk pesawat mendarat kerana tiupan angin yang kuat dan kabus tebal.

    “Bahagian hujung landasan ini juga ditutupi gunung yang berketinggian 2,900 meter. Pengalaman ngeri bagi kami mungkin bermula di sini,” kata Samantha, 36, yang sudah hampir lima tahun aktif dalam ekspedisi mendaki gunung.

    Pada April 2017, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini berjaya mengharungi pelbagai ujian getir untuk menamatkan pendakian ke Annapurna Base Camp (ABC), yang terletak di kawasan pergunungan Everest, gunung tertinggi di dunia. Gunung Everest terletak di Khumbu, Nepal.

    Menakjubkan

    Secara keseluruhannya, laluan trek pergi balik sejauh 130 kilometer, dari Kathmandu ke Everest Base Camp (EBC), yang digelar sebagai ‘tangga ke syurga’ memang sangat menakjubkan!

    Pada ketinggian 5,365 meter dari aras laut, EBC pasti termasuk dalam senarai wajib setiap pengembara (trekker) tegar. Pendakian EBC boleh dianggap pengalaman tidak ternilai kerana dapat meninggalkkan jejak di kaki gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest, yang setinggi 8,848 meter.

    Perjalanan ke EBC adalah sangat mencabar, bukan sahaja kerana kecuramannya malah penyakit akut gunung (AMS) yang boleh menjadi serius dan membunuh walaupun bagi seseorang trekker yang membuat persiapan dengan baik. Oleh itu bagi kebanyakan orang, peluang melihat pemandangan Gunung Everest dari jauh pun sudah memadai.

    Cabaran bermula

    Meskipun banyak yang didengar dan dibaca tentang kesukaran mendaki ke EBC, penulis  nekad untuk mencuba nasib melakukan ekspedisi berkenaan.

    Lantaran itu, saya menyertai ekspedisi 11 hari EBC dengan 15 trekker lain dari Happy Hikers KL (kumpulan pendaki). Untuk ekspedisi yang bermula dari 29 April hingga 10 Mei, kumpulan kami memilih Alpine Club of Himalaya, syarikat ‘trekking’ terkenal di Nepal, yang menyediakan jurupandu profesional untuk membantu peserta pendakian mempersiapkan diri untuk melakukan aktiviti lasak itu.

    Perjalanan itu bukan sekadar untuk tujuan ‘trekking’, mencapai impian atau hanya bersiar-siar. Bagi saya, ia adalah untuk menguji sejauh mana kemampuan saya selain menguji keakraban anggota kumpulan mendaki itu.

    ‘Trekking’ bermula sebaik sahaja mendarat di Lukla dan sepanjang tiga hingga empat jam perjalanan, rasa letih terubat dengan keindahan pemandangan batu-bata cadas pergunungan Himalaya ditambah dengan danau serta glasier di sekelingnya.

    Terasa diri terlalu kecil apabila dikelilingi barisan gunung-ganang dan ketika menyeberangi jambatan gantung.

    Berjaya capai impian

    Saya sangat bernasib baik kerana dapat melengkapkan ekspedisi EBC tanpa perlu menghadapi AMS, tidak seperti kebanyakan anggota kumpulan yang menghadapi kesukaran berada pada ketinggian itu. Mereka yang mengalami gejala AMS menghadapi pelbagai gangguan fikiran (delusi), ada yang menyesal kerana menyertai ekspedisi itu, malah lebih buruk lagi ada yang merasakan gunung itu akan menjadi tempat ‘rehat’ terakhir mereka untuk selamanya.

    Namun, saya bersyukur kerana kebanyakan anggota kumpulan itu berjaya mencapai impian masing-masing untuk menjejak kaki ke EBC walaupun terpaksa melalui pengalaman dahsyat kerana AMS. Saya mencuba sedaya mungkin kerana percaya bahawa kekuatan mental adalah lebih kuat daripada anggota tubuh apabila berhadapan dengan kesukaran.

    Keadaan sejuk mencengkam dan kering pada suhu -17 darjah Celcius ketika itu. Pada ketinggian itu kita akan mudah letih dan sukar tidur akibat persekitaran yang rendah oksigen. Kita juga boleh mengalami kelesuan teruk kerana berjalan pantas dan jauh di cerun yang dipenuhi ais dan batu-batan sehingga lapan jam sehari di samping terdedah kepada pancaran cahaya matahari dan boleh menderita kerana selaran matahari yang teruk.

    Penulis ketika sampai ke Everest Base Camp. – Bernama

    Setiap kali apabila berdepan dengan rintangan yang teruk, saya sentiasa mengingatkan diri bahawa ‘trekking’ bukan sekadar mengatur langkah kaki tetapi untuk menghayati pengalaman yang dilalui dan menghargai keindahan alam semula jadi di sepanjang perjalanan.

    Berinteraksi dengan alam semula

    “Jangan terburu-buru, minum air yang mencukupi dan paling penting, untuk menikmati perjalanan ini kerana ia adalah interaksi antara anda dan alam semula jadi,” antara kata-kata inspirasi Akhilesh Upadhyay, yang juga ketua editor Kathmandu Post, yang saya kenali sebelum ini di China. Kata-katanya memberikan kekuatan dan keyakinan untuk meneruskan apa saya mulakan.

    Memang benar apabila beliau berkata,”Mengapa tergesa-gesa, tidak ada trofi yang menantikan anda di rumah teh” (atau dikenali sebagai pondok kecil) yang terdapat di sepanjang laluan pendakian.

    Walaupun benar bahawa laluan ke EBC jauh lebih mudah daripada ke puncak Everest, namun seseorang yang baharu menyertai aktiviti seumpama itu seperti saya, ianya masih menjadi cabaran getir.

    Bagi saya, untuk menikmati perjalanan yang memuaskan dan selesa, perkara terbaik perlu dilakukan adalah memahami keadaan tubuh sendiri, berjalan dan mendaki mengikut kemampuan sendiri sambil menikmati pemandangan menakjubkan di sepanjang trek. Pastikan agar tidak melepaskan peluang untuk merakam panorama sekitar yang selama-lamanya akan terukir dalam ingatan.

    Tiba di EBC

    Keletihan yang teramat dirasai di Gorakshep yang terletak pada ketinggian 5,164 meter, iaitu kem terakhir menuju ke EBC.  Sepanjang trek yang memakan masa kira-kira tiga jam itu hanya ada cerun berbatu tanpa sebarang tumbuh-tumbuhan.

    Betapa leganya apabila sampai ke EBC, apatah lagi Gunung Everest tersergam megah di hadapan kami.  Spontan perasaan bangga membalut hati “wow ini adalah penghujung perjalanan kami”.

    Terasa saya menjadi amat bertenaga dan untuk seketika saya terfikir, kenapa tidak teruskan sahaja ke puncak Everest. Gembira yang tidak terhingga apabila sampai di ECB, setelah mengharungi kesukaran di sepanjang perjalanan ke situ.

    Lebih daripada itu, ia adalah perjalanan instrospektif bagi saya dan rakan-rakan. Pada setiap langkah kita mendapat rakan karib, kekuatan diuji, toleransi meningkat, watak dibina dan kehidupan dihargai.

    Pengalaman berharga yang saya kutip daripada ekspedisi ini ialah dalam setiap kesukaran, ada kemanisan. Ia sama dengan kehidupan yang ada “naik turunnya”.

    Kesukaran kecil menjadikan kita lebih kuat dan membantu kita menjalani kehidupan yang lebih bermakna, dan menghargai setiap saat sama ada baik mahupun buruk.

    Dengan berusaha lebih sedikit, pasti ada yang akan nampak hasil kerja kami. Begitu juga perjalanan saya ke EBC, apa juga yang tidak menyenangkan, akhirnya pudar begitu sahaja. Hanya kenangan indah yang terpahat di ingatan!. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda