Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendakian pertama buka peluang kepada pelancongan

    KHUMJUNG, NEPAL – Apabila Edmund Hillary dan Tenzing Norgay Sherpa pertama kali menakluki Gunung Everest 70 tahun lalu, mereka telah membuka laluan kepada ribuan pendaki asing yang cuba mengikut jejak mereka.

    Pendakian selama lapan hari ke kem pangkalan Everest adalah antara pendakian paling popular di Nepal, dengan puluhan ribu orang pengunjung membuat pendakian setiap tahun.

    Dahulunya tempat itu adalah kawasan perkampungan agraria kecil ketika ekspedisi British melaluinya pada 1953 dan sejak itu berubah menjadi hab pelancongan dengan hotel, kedai teh dan kedai peralatan, meningkatkan taraf kehidupan masyarakat tempatan.

    Dalam kebanyakan isi rumah, tiga generasi telah didapati bekerja dalam bidang pendakian – pekerjaan yang jauh lebih lumayan berbanding bertani atau menggembala yak.

    Pekerjaan itu sangat berbahaya, tetapi dalam musim pendakian kira-kira tiga bulan, jurupandu berpengalaman boleh meraih sehingga AS$10,000 – berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding purata pendapatan tahunan negara itu.

    Antara pakaian dan peralatan yang digunakan oleh Tenzing Norgay semasa pendakian pertamanya menakluki Gunung Everest kira-kira 70 tahun lalu. – Gambar AFP
    Lukisan bekas pendaki pertama Gunung Everest, Tenzing Norgay diabadikan di Muzium Institusi Pendaki Himalaya, di Darjeeling, India. – Gambar AFP
    Guru dan pelajarnya menyiapkan dekorasi untuk Sekolah Khumjung. – Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Dan masyarakat Sherpa dan Himalaya yang lain telah membuka restoran dan rumah tumpang.

    Jurupandu gunung yang veteran, Phurba Tashi Sherpa dilahirkan dan dibesarkan di Khumjung, sebuah perkampungan kira-kira 10 kilometer dari kem pangkalan.

    Dia membesar dengan melihat ayah dan pak ciknya pergi ke gunung untuk bekerja, dan tidak lama selepas itu dia pun menyertai mereka dalam ekspedisi, akhirnya mendaki Gunung Everest 21 kali sebelum dia memutuskan untuk bersara.

    “Sebelum ini hanya ada beberapa ekspedisi tetapi sekarang ia lebih kerap setiap tahun,” katanya.

    “Ini bermakna pendapatan bertambah. Ia membantu memperbaiki taraf kehidupan di sini. Ia telah mengubah banyak perkara.”

    Sejak pasukan British pertama mula-mula ingin menakluki Gunung Everest pada tahun 1920an, pendaki Nepal – kebanyakannya dari kumpulan etnik Sherpa – sentiasa berada bersama mereka.

    ‘Sherpa’ menjadi sinonim sebagai jurupandu di altitud tinggi dan mereka menjadi tulang belakang kepada industri berjuta dolar ini, menanggung risiko besar untuk membawa peralatan dan makanan, mengikat tali dan memperbaiki tangga.

    Kini kumpulan ekspedisi tempatan – bukannya mempunyai peranan kecil kepada agensi pendakian asing – menarik sebahagian besar pelanggan ke Nepal.

    Dan generasi muda pendaki Nepal secara perlahan-lahan mendapat pengiktirafan.

    Pendaki terkenal dari Itali, Reinhold Messner memberitahu AFP semasa temu bual pada 2021 bahawa ia adalah pengiktirafan yang layak diberikan.

    “Ia adalah satu evolusi,” katanya. “Dan ini sangat penting bagi ekonomi masa depan negara.”

    Pendakian pertama Gunung Everest telah menjadikan Nepal menarik perhatian dunia dan pergunungannya telah memukau pengembara dan pelancong.

    Ia memainkan peranan penting untuk melabel Nepal sebagai sebuah destinasi, menurut penulis pelancongan, Lisa Choegyal.

    “Menempuhi COVID dan kejadian gempa bumi serta semua halangan lain, termasuk pemberontakan, yang dialami Nepal selama beberapa dekad, pendakian gunung benar-benar bertahan,” katanya.

    Wilayah Khumbu mengalu-alukan lebih 50,000 orang pendaki setiap tahun.

    “Ia adalah anugerah daripada gunung-gunung dan kami berterima kasih kepada pendakian pertama kerana telah membuka rantau ini kepada pelancongan,” kata Mingma Chhiri Sherpa, pengerusi perbandaran tempatan.

    “Pendidikan dan kemudahan moden dapat dibangunkan disebabkannya.”

    Dipacu untuk membantu masyarakat yang bekerjasama dengannya, Hillary membiayai sekolah pertama di rantau itu di Khumjung dan dikatakan telah mengangkut sendiri kayu-kayu untuk membantu membinanya.

    Salah seorang pelajar pertama, Ang Tsering Sherpa, yang kini memiliki syarikat ekspedisinya sendiri berkata, “Ia disebabkan oleh pendaki yang membantu Sherpa muda untuk melanjutkan pembelajaran di peringkat tinggi pada hari ini.

    “Ia telah memberikan kemakmuran ekonomi.”

    Lebih 10 peratus penduduk Nepal bekerja dalam bidang pelancongan dan kerajaan pada tahun ini telah mengumpul lebih AS$5 juta daripada yuran permit Gunung Everest itu sahaja ketika jumlah rekod pengunjung dijangka tiba.

    Tenzing Chogyal Sherpa, 30, yang neneknya Kancha Sherpa merupakan sebahagian daripada ekspedisi pada 1953, adalah seorang ahli glasiologi dan berkata bahawa pendidikan telah memberikan pilihan kepada golongan muda Sherpa.

    “Orang muda Sherpa kini boleh menjadi seorang doktor, jurutera atau ahli perniagaan, apa sahaja yang mereka inginkan. Ia sangat bagus,” katanya.

    “Dan jika mereka ingin menjadi seorang pendaki, mereka boleh berbuat demikian.”
    – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda