THE HAGUE, 3 JUN – Pendakwa raya Belanda kelmarin memaklumkan mereka sedang berusaha untuk merampas aset haram berjumlah rekod €221 juta daripada salah seorang raja dadah paling dikehendaki di Eropah, yang dipercayai bersembunyi di Sierra Leone.
Aset haram milik Jos Leijdekkers, yang turut dikenali sebagai ‘Bolle Jos’ atau ‘Chubby Jos’, diperoleh melalui penyeludupan kokain serta pembelian emas dan barangan mewah, menurut kenyataan pihak pendakwa.
Leijdekkers dipercayai telah memperoleh €114 juta hasil daripada 14 penghantaran kokain dalam tempoh kurang setahun.
Menurut komunikasi yang berjaya dipintas, lelaki berusia 33 tahun itu turut membelanjakan €47 juta bagi membeli 975 kilogram emas dalam masa kurang enam bulan.
Pendakwa turut mendakwa dia membeli hartanah termasuk sebuah hotel di Turkiye dan beberapa pangsapuri di Dubai.

Barangan mewah seperti dua buah kereta Bentley, beg jenama terkenal, barang kemas dan jam tangan turut disenaraikan sebagai aset haram, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan yang dituntut sebanyak €221 juta.
“Ia hanyalah langkah pertama dalam usaha mengesan aset milik Leijdekkers,” kata pihak pendakwa.
Mahkamah Rotterdam pada Jun tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun ke atas Leijdekkers secara tidak hadir kerana mengarahkan pembunuhan dan mengatur penghantaran kokain.
Dia kini tersenarai dalam senarai paling dikehendaki Europol, dengan ganjaran €200,000 ditawarkan bagi maklumat yang membawa kepada penahanannya.
Pada Januari lalu, pihak berkuasa Belanda menyatakan mereka ‘amat yakin’ Leijdekkers sedang bersembunyi di Sierra Leone.
Gambar-gambar yang didakwa menunjukkan Leijdekkers bersama pegawai kanan, termasuk Presiden Julius Maada Bio, mencetuskan spekulasi bahawa raja dadah itu telah menjalin hubungan rapat dengan golongan elit politik Sierra Leone termasuk anak perempuan presiden.
Kecurigaan mengenai kehadirannya di Sierra Leone timbul selepas Wanita Pertama negara itu, Fatima Bio, memuat naik gambar dan video di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki mirip Leijdekkers menghadiri satu majlis keagamaan bersama Presiden Bio. – AFP